AM

PM Anwar Zahir Dukacita Atas Pemergian Tokoh Sastera Abu Bakar Abd Hamid

24/06/2026 10:47 AM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh akademik dan sarjana besar negara Prof Emeritus Datuk Abu Bakar Abd Hamid yang kembali ke rahmatullah pada Ahad lepas.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar menyifatkan Allahyarham yang juga mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (UM) sebagai seorang pemuka persuratan Melayu yang unggul serta watak penting dalam sejarah penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sebagai antara anak murid kepada tokoh berkenaan, beliau turut meluahkan rasa kehilangan seorang guru yang amat disayangi dan dikasihi.

"Kami amat menyayangi dan mengasihi beliau tidak hanya sebagai seorang guru, namun juga sebagai seorang yang cintakan ilmu dan yang sentiasa memberi semangat kepada semua.

“Semoga Allah SWT mengampuni dosanya, memberi kelegaan kepada rohnya di alam sana dan mengurniakan tempat yang istimewa buat rohnya," kata perdana menteri.

Allahyarham Abu Bakar, 87, berasal dari Johor dilaporkan mengalami sesak nafas secara tiba-tiba sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga kira-kira 10.30 malam, 21 Jun lepas di kediamannya di Petaling Jaya.

Tokoh sastera terkemuka itu juga merupakan bekas Pengerusi Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dari 1996 hingga 2000.

Sepanjang hayatnya, beliau menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah berprestij atas sumbangan luar biasa dalam bidang kesusasteraan tanah air.

Selain pernah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor UM pada 1987, Allahyarham juga memegang jawatan sebagai Setiausaha Bersama bagi Jawatankuasa Penubuhan UKM pada 1968.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada Isnin lepas.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan