JENAYAH & MAHKAMAH

RUU Penjara (Pindaan) 2026 Cadang Penggunaan Peranti Pengawasan Elektronik

23/06/2026 07:15 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Penjara (Pindaan) 2026 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini, antara lain mencadangkan penggunaan peranti pengawasan elektronik serta pelantikan sukarelawan bagi program pemulihan banduan. 

RUU bagi meminda Akta Penjara 1995 (Akta 537) itu dibentangkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang turut memaklumkan bacaan kali kedua dijadual dibentangkan pada sidang kali ini.

Menurut naskhah biru yang disiarkan menerusi portal rasmi Parlimen, pindaan itu melibatkan pengenalan bahagian baharu yang memberi kuasa kepada komisioner jeneral untuk mengarahkan pemasangan peranti pengawasan elektronik pada mana-mana banduan yang dikurung, dilepaskan secara lesen, atau dilepaskan secara parol. 

“Peranti pengawasan elektronik dipasang pada seseorang banduan untuk mengawasi banduan itu semasa dia berada di dalam penjara atau di luar batasan penjara,” menurut RUU berkenaan. 

Pindaan berkenaan turut memperuntukkan penalti bagi kesalahan mengganggu, merosakkan, memusnahkan atau menghilangkan peranti berkenaan, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun serta tanggungjawab membayar ganti rugi atas kerosakan atau kehilangan peranti tersebut. 

Selain itu, RUU itu mencadangkan pengenalan seksyen baharu 66A yang membolehkan komisioner jeneral melantik sukarelawan bagi membantu pegawai penjara melaksanakan program pemulihan.

Menurut RUU itu, sukarelawan yang dilantik boleh dibayar elaun yang ditentukan oleh menteri selepas berunding dengan menteri kewangan, namun tidak berhak kepada apa-apa saraan, selain disifatkan sebagai penjawat awam mengikut pengertian Kanun Keseksaan semasa menjalankan tugas. 

RUU Penjara (Pindaan) 2026 juga bertujuan menaikkan penalti am bagi kesalahan di bawah Akta 537 atau peraturan-peraturan yang tiada penalti diperuntukkan secara nyata, daripada denda maksimum RM500 kepada RM5,000, serta tempoh pemenjaraan daripada maksimum enam bulan kepada satu tahun. 

Antara pindaan lain yang dicadangkan ialah mewujudkan pangkat baharu iaitu ketua penolong penguasa penjara bagi pegawai kanan penjara dan ketua subinspektor penjara sebagai pangkat tertinggi bagi pegawai rendah penjara. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan