TASEK GELUGOR, 23 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang berusaha membantu pengeskport durian yang berdepan kekangan dalam urusan eksport ke pasaran luar negara sehingga berlaku lambakan raja buah itu di pasaran tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar negeri Datuk Rashidi Zinol berkata bagi membincangkan isu itu, beliau telah mengadakan beberapa pertemuan dengan Persatuan Pengusaha Durian Pulau Pinang.
"Ada berlaku lambakan disebabkan sebahagian durian yang hendak dieksport berdepan kekangan dari segi cabaran logistik dan kos pengangkutan agak tinggi.
"Selain itu, musim durian kali ini buah luruh serentak, jadi banyak bekalan dalam pasaran," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis PraPelancaran Ekspo Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) (EXPERT) 2026 di Midtown PERDA, Kubang Menerong di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi PERDA Datuk Dr Shaik Hussein Mydin.
Rashidi berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan pengusaha durian berikutan harga raja buah itu mengalami kejatuhan ekoran berlaku lambakan di Pulau Pinang ketika ini.
Beliau berkata kerajaan negeri bersama Jabatan Pertanian Pulau Pinang sedang berbincang bagi membuka lebih banyak ruang kepada pengeksport yang berdepan halangan untuk membawa keluar hasil durian tempatan ke pasaran luar negara.
Beliau memaklumkan antara cadangan yang dibangkitkan ialah penggunaan laluan darat untuk tujuan eksport, namun kaedah itu memerlukan penelitian kerana melibatkan tempoh perjalanan lebih panjang serta keperluan mengekalkan kualiti buah.
"Kalau eksport melalui jalan darat, tempoh perjalanan boleh mengambil masa hingga empat hari. Jadi buah yang digunakan perlu segar dan perkara itu memerlukan kelulusan kerajaan serta perbincangan lanjut dengan jabatan berkaitan bagi memastikan kualiti durian Pulau Pinang terus terpelihara," katanya.
Beliau berkata walaupun situasi lambakan memberi manfaat kepada pengguna kerana harga durian menjadi lebih rendah, kerajaan negeri tetap komited dan memainkan peranan membantu pemain industri khususnya pengeksport dan pekebun.
Mengulas mengenai pengeluaran durian tahun ini, Rashidi berkata musim durian di Pulau Pinang dijangka berterusan hingga awal Ogos, namun beliau masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Pertanian berhubung jumlah pengeluaran dan sasaran eksport bagi 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial