AM

UKM Teroka Kerjasama Dalam Bidang Teknologi Kuantum Di UK, Jepun

23/06/2026 06:55 PM

PUTRAJAYA, 23 Jun (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperluas kerjasama antarabangsa dalam bidang teknologi kuantum menerusi siri lawatan strategik ke United Kingdom (UK) dan Jepun dalam usaha menyokong agenda teknologi kuantum negara.

Dalam kenyataan hari ini, UKM memaklumkan delagasinya mengadakan sesi perbincangan di National Quantum Computing Centre, ISIS Neutron and Muon Source, Oxford Quantum Institute serta Imperial College London di United Kingdom bagi meneliti amalan terbaik dalam pembangunan ekosistem teknologi kuantum.

Di Jepun, UKM juga mengadakan lawatan kerja ke IBM Tokyo University Quantum dan kemudahan pengkomputeran kuantum di Shin-Kawasaki.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Sufian Jusoh dalam kenyataan sama berkata kedua-dua lawatan tersebut memberi peluang kepada UKM untuk memahami lebih mendalam landskap teknologi kuantum global dan pendekatan digunakan negara maju dalam membangunkan ekosistem kuantum yang mampan.

“Dapatan daripada lawatan ini akan membantu UKM menguatkan peranannya dalam menyokong pembangunan teknologi kuantum negara, khususnya dalam aspek penyelidikan, pembangunan bakat dan kerjasama strategik antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata teknologi kuantum dijangka menjadi antara pemacu utama transformasi digital global dalam tempoh satu hingga dua dekad akan datang.

Sehubungan itu, beliau berkata institusi pengajian tinggi perlu bersedia memainkan peranan lebih besar dalam membangunkan ilmu, bakat dan inovasi berkaitan teknologi tersebut.

“Lawatan ini memberikan pendedahan bernilai kepada UKM dalam memahami perkembangan teknologi kuantum global serta potensi penggunaannya dalam pelbagai sektor strategik.

“UKM melihat teknologi kuantum sebagai bidang masa hadapan yang berpotensi mengubah pendekatan dalam menangani cabaran kompleks merangkumi sains, kejuruteraan, keselamatan siber, tenaga, pertanian dan kesihatan,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen UKM untuk memperluas kerjasama dengan pemain industri teknologi global bagi memastikan universiti kekal relevan dalam menghadapi perkembangan teknologi yang pesat serta terus menyumbang kepada agenda pembangunan negara.

“Pembangunan teknologi kuantum juga memerlukan sokongan menyeluruh melibatkan dasar, pelaburan, infrastruktur, pembangunan modal insan serta kerjasama erat antara universiti, industri dan kerajaan.

“Dalam konteks ini, kepakaran UKM melalui Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN) dalam bidang mikro dan nanofabrikasi, nanofotonik, sensor, bahan termaju serta teknologi peranti berpotensi menyokong pembangunan bidang strategik seperti quantum engineering, quantum sensing and metrology serta quantum materials.

“Inisiatif ini selari dengan hasrat kerajaan untuk memperluas kerjasama antara institusi pengajian tinggi awam Malaysia dengan universiti antarabangsa, terutama sekali dalam bidang penyelidikan termaju seperti teknologi kuantum,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan