SUKAN

FAM Anjur Program FIFA Perkasa Pengurusan, Pentadbiran Bola Sepak Wanita

23/06/2026 04:51 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus memperkukuh ekosistem bola sepak wanita negara dengan memberi tumpuan kepada pembangunan aspek pengurusan dan pentadbiran pasukan menerusi penganjuran Program FIFA Capacity-Building for Administrators 2026, di sini.

Program selama empat hari yang bermula hari ini dianjurkan dengan kerjasama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan pengurus pasukan wanita dan pegawai pentadbiran.

Inisiatif itu juga menjadi sebahagian daripada usaha FAM untuk memastikan pembangunan bola sepak wanita negara tidak hanya tertumpu kepada aspek teknikal di atas padang, sebaliknya turut merangkumi pengukuhan struktur sokongan di luar padang.

Menurut hantaran di Facebook rasmi FAM, sepanjang program yang dikendalikan dua pakar pembangunan bola sepak wanita FIFA, Safia Abdeldayem dan Pema Choden Tshering itu, peserta didedahkan kepada pelbagai modul berkaitan pengurusan bola sepak wanita.

Antara modul yang diketengahkan ialah kepimpinan wanita, pertandingan wanita, hak kelab dan pemain, serta perancangan strategik.

“Modul-modul ini bertujuan memperkasakan kepimpinan, meningkatkan pemahaman mengenai struktur pertandingan, pengurusan hak pemain dan kelab, selain membantu peserta membina perancangan strategik yang lebih berkesan untuk pembangunan pasukan masing-masing,” menurut hantaran itu.

Turut hadir pada hari pertama program ialah Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman; Ahli Jawatankuasa Pertandingan Pasukan Wanita Kebangsaan FIFA merangkap Ahli Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Suraya Yaacob; serta Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita FAM Soleen Al-Zoubi.

Sementara itu, FAM melihat keperluan untuk melahirkan lebih ramai individu berkemahiran dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bagi memastikan kesinambungan pembangunan sukan berkenaan.

Menurut FAM, peningkatan jumlah pengurus pasukan, pentadbir serta pemimpin wanita dalam industri bola sepak mampu membantu membentuk ekosistem yang lebih kukuh, profesional dan mampan demi masa depan bola sepak wanita negara.

“Melalui penganjuran Program FIFA Capacity-Building for Administrators 2026 ini, FAM terus komited memperluaskan peluang, memperkasakan peranan wanita dalam bola sepak serta menyokong usaha FIFA membangunkan bola sepak wanita di seluruh dunia,” menurut hantaran itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan