AM

1,059 Kemalangan Pendakian, 63 Kematian Direkodkan Sejak 2021 - Syed Ibrahim

23/06/2026 02:36 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Sebanyak 1,059 kes kemalangan melibatkan aktiviti pendakian,  termasuk 63 kematian dan 87 kecederaan direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 2021 hingga 2025, Dewan Rakyat diberitahu  hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh berkata statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu menunjukkan keperluan untuk memperkukuh aspek keselamatan susulan peningkatan trend aktiviti pendakian dan rekreasi hutan kebelakangan ini.

Beliau berkata bagi memastikan aktiviti rekreasi di Hutan Simpan Kekal (HSK) diurus secara sistematik, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan sokongan pembiayaan daripada Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) membangunkan Garis Panduan Kebangsaan Penilaian dan Pengurusan Risiko Gunung (MoGRAM) sebagai rujukan teknikal mitigasi risiko serta pengurusan kapasiti laluan pendakian.

“JPSM juga mewajibkan khidmat Malim Gunung Perhutanan (MGP) di 189 kawasan pendakian yang berisiko tinggi sebagai jurupandu arah yang bertauliah bagi menyokong aspek keselamatan pendaki, tindak balas kecemasan serta pematuhan kepada amalan pendakian.

“Sehingga kini sebanyak 2,322 orang daripada komuniti setempat termasuk masyarakat Orang Asli telah ditauliahkan sebagai MGP melalui program pembangunan kemahiran MGP,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berhubung jumlah kemalangan dan kematian akibat aktiviti pendakian dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini serta usaha kerajaan mewujudkan satu piawaian keselamatan nasional bagi semua laluan pendakian di seluruh negara.

Syed Ibrahim berkata kementerian itu melalui JPSM dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MySA) sedang membangunkan sistem pengurusan trek pendakian berasaskan teknologi geospatial, sistem maklumat geografi (GIS) dan penderiaan jauh atau remote sensing.

Beliau berkata sistem itu akan menyokong pemetaan dan pemantauan laluan pendakian, pengurusan maklumat trek secara berpusat serta meningkatkan keupayaan operasi mencari dan menyelamat (SAR) melalui analisis spatial yang lebih tepat dan komprehensif.

Pada masa ini, katanya, pendaftaran aktiviti pendakian di kawasan HSK dilaksanakan sama ada secara manual atau menerusi platform dalam talian yang diuruskan oleh jabatan perhutanan negeri, selaras dengan bidang kuasa kerajaan negeri yang bertanggungjawab mengeluarkan permit memasuki kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, kementerian berpandangan cadangan mewujudkan satu sistem log pendaftaran pendakian secara digital di peringkat nasional merupakan inisiatif yang berpotensi memperkukuh aspek keselamatan, pemantauan dan pengurusan aktiviti pendakian.

“Sistem sedemikian boleh membantu dalam merekod pergerakan pendaki secara lebih sistematik, mempercepat proses pengesanan sekiranya berlaku kecemasan serta menyokong pelaksanaan operasi SAR dengan lebih berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata kementerian turut memberi perhatian serius terhadap aspek kemahiran dan kebajikan MGP serta pemandu pelancong alam semula jadi yang menjadi barisan hadapan dalam memastikan keselamatan pendaki.

Katanya, pelbagai program latihan dan pensijilan dilaksanakan secara berkala meliputi aspek keselamatan pendakian, pengurusan risiko, pertolongan cemas, ikhtiar hidup dan kemahiran mencari dan menyelamat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan