PUTRAJAYA, 23 Jun (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan memberi kerjasama penuh dan menyeluruh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berhubung proses pemindahan tiga ekor gajah Asia dikenali Dara, Amoi dan Kelat (DAK) dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata kementerian mengambil maklum mengenai siasatan yang sedang dijalankan dan menegaskan komitmennya terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti serta kedaulatan undang-undang dalam setiap aspek pengurusan hidupan liar negara.
"NRES sedia memberikan kerjasama penuh dan menyeluruh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan ini berlangsung bagi memastikan proses siasatan dapat dilengkapkan secara menyeluruh dan telus," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Arthur berkata kementerian tidak berkompromi atau melindungi mana-mana pihak sekiranya terbukti wujud sebarang salah laku, penyelewengan atau pelanggaran prosedur dalam urusan pemindahan berkenaan.
Beliau berkata pendirian itu penting bagi memelihara integriti institusi serta nama baik negara di peringkat antarabangsa.
SPRM semalam mengesahkan kertas siasatan berhubung isu pemindahan DAK telah dibuka susulan dakwaan berlaku ketirisan dan penyelewengan dalam urusan berkenaan.
Pada 18 Jun lepas, pertubuhan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) telah menggesa SPRM menjalankan siasatan berhubung pemindahan DAK.
Pertubuhan berkenaan turut mendakwa terdapat bayaran berkaitan urusan tersebut yang tidak disalurkan kepada kerajaan selain mengaitkan beberapa individu dengan transaksi dianggarkan bernilai RM53 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial