KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengesahkan Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainuddin kembali menjadi Ketua Pembangkang bermula 18 Jun lepas.
Berdasarkan perkembangan sejak Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat lepas serta pemakluman yang telah dipertimbangkan, Johari berkata Hamzah adalah Ketua Pembangkang setakat 20 Mei 2026.
Selepas itu, beliau berkata Ahli Parlimen Kemaman Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mohktar dilantik ke jawatan itu mulai 21 Mei hingga 10 Jun, sebelum Hamzah kembali menjadi Ketua Pembangkang pada 18 Jun 2026.
“Saya mengucapkan penghargaan kepada Yang Berhormat Kemaman atas khidmat sebagai Ketua Pembangkang dalam tempoh tersebut dan mengalu-alukan Yang Berhormat Larut untuk kembali berkhidmat sebagai Ketua Pembangkang,” katanya.
Johari memaklumkan mengenai status Ketua Pembangkang itu di bawah Peraturan Mesyuarat 4A(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dalam permasyhurannya sebelum sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan hari ini.
Dalam perkembangan lain, Johari turut mengesahkan kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa selepas penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, menghantar surat untuk melepaskan keahlian mereka sebagai Ahli Dewan Rakyat pada 18 Mei 2026.
Sehubungan itu, Johari berkata beliau memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai kekosongan kedua-dua kerusi berkenaan selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial