Oleh Kuvineshwaren Nedunjelian
KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Usaha diplomasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkukuh hubungan antarabangsa berpotensi mempertingkatkan hubungan ekonomi, perdagangan serta pelaburan strategik Malaysia ketika landskap geopolitik global berdepan ketidaktentuan, menurut ahli akademik.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Mohd Ramlan Mohd Arshad berkata lawatan Anwar ke Kazan, Rusia dan Turkmenistan baru-baru ini sebagai contoh, membantu mempelbagaikan pasaran serta menjamin daya tahan ekonomi Malaysia.
Beliau berkata lawatan itu membuka peluang kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, tenaga, pertanian dan teknologi yang berpotensi meningkatkan kedudukan ekonomi Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Pada ketika ini kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat antara yang terbaik dalam memastikan kedudukan Malaysia kekal sebagai destinasi strategik pelaburan dan pragmatik dalam hubungan antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Dasar dan Badan Pemikir Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Siranjeev Ram berkata Malaysia memperoleh manfaat apabila pemimpin negara dihormati di peringkat antarabangsa serta berupaya menjalin hubungan kukuh dengan pelbagai negara.
“Dalam persekitaran global semakin kompleks, Malaysia perlu terus mengekalkan dasar luar yang bebas dan pragmatik, yang mampu membuka peluang kepada rakyat, perniagaan serta generasi akan datang," katanya sambil menegaskan bahawa penghormatan dinikmati Malaysia di peringkat antarabangsa perlu diterjemahkan kepada manfaat dan peluang nyata untuk rakyat di dalam negara.
Berkongsi pandangan sama, doktor pergigian Dr Lim Yu Xiang menyifatkan penglibatan berterusan Malaysia di pentas antarabangsa sebagai langkah ekonomi yang baik dan strategik bagi mendapatkan perjanjian perdagangan menguntungkan dengan pasaran global sedang berkembang.
"Selagi kita mampu mencapai perjanjian yang baik dengan Rusia dan Turkmenistan, saya fikir ia merupakan langkah tepat. Perdana Menteri dilihat mempunyai reputasi yang baik dan menyerlah di pentas antarabangsa, dan perkara itu tidak dapat dinafikan," katanya.
Dr Lim turut menyatakan keyakinan bahawa kedudukan kukuh Perdana Menteri di peringkat antarabangsa akan memberikan momentum positif dalam mempercepat pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh pembangunan domestik demi manfaat seluruh rakyat Malaysia.
Sementara itu, pakar pemasaran media Fiona Lim berkata Malaysia perlu terus mengekalkan hubungan yang konstruktif dengan pelbagai negara sambil memastikan kepentingan nasional sentiasa dipelihara.
Beliau berkata seorang pemimpin yang dihormati bukan sahaja mampu menarik perhatian dunia terhadap dirinya, malah berupaya membantu masyarakat antarabangsa mengenali nilai serta potensi negaranya.
"Dalam konteks itu, peningkatan keterlihatan dan kredibiliti Malaysia di pentas antarabangsa merupakan sesuatu yang boleh kita hargai bersama," katanya.
Lawatan kerja dua hari Perdana Menteri ke Kazan sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia telah berjaya memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara, terutamanya dalam aspek keselamatan tenaga.
Melalui komitmen baharu ini, Rusia bersetuju membekalkan petrol, minyak, dan gas kepada Malaysia menerusi perjanjian jangka panjang yang lebih stabil, berbanding kontrak tahunan atau bermusim sebelum ini.
Draf perjanjian tersebut kini berada di peringkat akhir untuk dimuktamadkan, melibatkan kerjasama strategik dengan PETRONAS serta wilayah pengeluar minyak utama Rusia, Tatarstan.
Dalam lawatan Anwar ke Turkmenistan, sektor tenaga Malaysia diperkukuh di peringkat global sempena sambutan ulang tahun ke-30 operasi PETRONAS di negara Asia Tengah berkenaan.
PETRONAS memeterai beberapa perjanjian strategik baharu, termasuk memperoleh 100 peratus pegangan bagi eksplorasi minyak dan gas di Blok Luar Pesisir 19 dan 20 di Laut Kaspia.
Satu Perjanjian Rangka Kerja Jangka Panjang turut ditandatangani untuk meneroka potensi pembangunan di Medan Galkynysh, antara medan gas terbesar dunia, serta peluang dalam industri hiliran dan pemprosesan gas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial