AM

Ketupat Daun Buluh Wang Perah Terus Dapat Sambutan

22/06/2026 11:13 AM

JITRA, 22 Jun (Bernama) -- Ketupat daun buluh terus mendapat sambutan menggalakkan meskipun di luar musim perayaan, sekali gus membuktikan makanan tradisi turut mampu berkembang menjadi perusahaan berdaya saing menerusi promosi serta kualiti yang konsisten.

Pengusahanya, Sarina Saidin, 56, dari Kampung Wang Perah, di sini  berkata hidangan yang sering dikaitkan dengan warisan masyarakat Cina dan Siam itu mempunyai keunikan tersendiri walaupun menggunakan beras pulut biasa.

Beliau berkata keistimewaan utama ketupat itu terletak pada aroma semula jadi daun buluh yang terhasil selepas dikukus selain teksturnya yang lembut serta rasa lemak yang tersendiri.

“Semua proses dilakukan sendiri dengan penuh teliti bagi memastikan kualiti serta rasa aslinya terus terpelihara dan kekal konsisten,” katanya kepada Bernama.

Katanya, bagi memudahkan pelanggan mengenal pasti variasi produk, beliau menggunakan sistem ikatan tali berwarna, iaitu merah untuk ketupat biasa, kuning (pulut hitam), biru (kacang) dan hijau (jagung).

“Ketupat biasa, pulut hitam dan jagung antara yang menerima permintaan tinggi. Walaupun hanya diusahakan dari rumah sejak empat tahun lepas, pendapatan agak memberangsangkan terutama pada hari raya,” katanya.

Beliau berkata promosi dilakukan sepenuhnya secara dalam talian menerusi aplikasi WhatsApp, TikTok dan Facebook, manakala tempahan diterima dari pelbagai negeri dan dihantar terus kepada pelanggan menggunakan perkhidmatan pos.

Katanya, ketupat biasa dijual pada harga RM28 sekilogram manakala ketupat kacang dan jagung masing-masing RM30 sekilogram serta pulut hitam RM35 sekilogram.

Sarina berkata beliau sangat menghargai sokongan daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), khususnya dalam penyediaan peralatan dan bimbingan kepada perusahaannya itu.

“KEDA banyak membantu sehingga saya dapat berada pada tahap sekarang. Antara bantuan diberikan termasuk peti sejuk beku, penimbang elektronik serta bimbingan untuk memastikan perusahaan ini dapat terus berkembang dan berjaya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan