WASHINGTON, 22 Jun (Bernama-Anadolu) -- Qatar dan Pakistan mengumumkan kemajuan memberangsangkan dalam usaha diplomatik yang sedang berlangsung antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran susulan berakhirnya pusingan pertama rundingan peringkat tinggi di Sidang Kemuncak Tasik Lucerne di Switzerland, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Suasana yang positif dan konstruktif berlaku pada hari pertama Sidang Kemuncak Tasik Lucerne, dengan kemajuan memberangsangkan berjaya dicapai, termasuk penubuhan satu mekanisme bagi meneruskan perbincangan teknikal," menurut kenyataan bersama kedua-dua negara.
Antara hasil paling ketara ialah pembentukan mekanisme bagi meneruskan perbincangan teknikal serta penubuhan sebuah jawatankuasa peringkat tinggi yang ditugaskan menyelia aspek politik proses pengantaraan itu.
Jawatankuasa berkenaan akan menerima laporan berkala daripada ketua perunding dan menyelia kumpulan kerja khusus yang memberi tumpuan kepada program nuklear Iran, isu berkaitan sekatan serta mekanisme penyelesaian pertikaian bagi memastikan pelaksanaan berkesan memorandum persefahaman yang ditandatangani minggu lalu.
"Jawatankuasa peringkat tinggi itu turut bersetuju dengan satu pelan hala tuju yang bertujuan mencapai perjanjian muktamad dalam tempoh 60 hari, sekali gus membuka laluan kepada permulaan segera pusingan baharu rundingan teknikal.
"Selain itu, satu saluran komunikasi telah diwujudkan antara pihak-pihak terlibat bagi tempoh yang ditetapkan dalam perenggan lima Memorandum Persefahaman bagi mengelakkan insiden dan salah faham, serta memastikan laluan selamat kapal-kapal perdagangan melalui Selat Hormuz," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial