DUNIA

Timor-Leste Mohon Bantuan Malaysia Tarik Kehadiran Google

20/06/2026 06:49 PM

Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi

BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Timor-Leste meminta bantuan Malaysia untuk memudah cara kerjasama dengan Google bagi mewujudkan kehadiran rasmi syarikat teknologi itu di negara berkenaan, sekali gus memudahkan pencipta kandungan digital tempatan menjana pendapatan dan mengembangkan ekonomi kreatif negara itu.

Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste Expedito Loro Dias Ximenes berkata ketiadaan perwakilan rasmi Google dan YouTube di negara itu menjadi antara cabaran utama yang menghalang pencipta kandungan tempatan daripada menjana pendapatan melalui program pengewangan platform berkenaan.

“Menteri (Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil) tadi sudah janji untuk membantu kita (Timor-Leste) untuk mengirimkan pakar Google ke Timor-Leste supaya dapat berbicara dengan kami,” katanya kepada Bernama.

Sebelum itu, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di luar majlis kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, yang diadakan di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Ximenes berkata Malaysia dan Timor-Leste turut bersetuju memperkukuh kerjasama media menerusi perkongsian berita, foto dan kandungan multimedia, selain latihan kewartawanan serta program pertukaran wartawan.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan agensi berita Timor-Leste, Agência Noticiosa de Timor-Leste (TATOLI) telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bagi mengeratkan kerjasama media antara kedua-dua negara anggota ASEAN. 

MOU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin   dan Presiden TATOLI Noémio Mateus Soares Falcão bagi pihak agensi masing-masing, baru-baru ini.

“Saya dan Menteri, kita berdua sepakat untuk melanjutkan kerjasama susulan MOU yang hari ini dibuat pertukaran antara TATOLI, Timor-Leste dengan Bernama melalui perkongsian bahan kandungan dan latihan kepada wartawan, wartawan dari Timur-Leste ke Malaysia dan Malaysia ke Timur-Leste,” katanya.

Beliau berkata kerjasama itu juga diharap dapat diperluas ke bidang penyiaran melalui jalinan antara Rádio e Televisão de Timor-Leste dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Menteri langsung panggil ketua pengarahnya (Ashwad Ismail) untuk memberi pemakluman bagi mengadakan kerjasama dalam waktu terdekat,” katanya.

Ximenes berada di Malaysia bersama delegasi Timor-Leste termasuk Presiden TATOLI dan Timbalannya Madalena DE JCP Carlos bagi menghadiri majlis kemuncak HAWANA 2026.

Edisi keenam HAWANA itu menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media tempatan dan asing di bawah tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan