KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Malaysia mencatat lonjakan memberangsangkan apabila naik lapan anak tangga untuk berada di kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026 oleh International Institute for Management Development (IMD), sekali gus merekodkan pencapaian terbaik negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Tahun lalu, Malaysia turut menunjukkan prestasi kukuh apabila melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 daripada 69 ekonomi, berbanding tempat ke-34 daripada 67 ekonomi pada 2024, sekali gus memperlihatkan trajektori peningkatan yang konsisten.
Penarafan IMD ini berasaskan empat teras utama iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur.
Menurut IMD, pengukuhan merentasi kesemua teras tersebut menjadi faktor utama yang mendorong peningkatan kedudukan Malaysia pada tahun ini.
Malaysia menyerlah dengan menduduki tempat keempat dunia bagi prestasi ekonomi, manakala kecekapan kerajaan meningkat 11 anak tangga ke kedudukan ke-14. Kecekapan perniagaan turut mencatat lonjakan ketara sebanyak 16 anak tangga ke tempat ke-16, sementara infrastruktur bertambah baik dua anak tangga ke kedudukan ke-33.
Bagi subfaktor pula, ekonomi domestik Malaysia naik empat anak tangga ke kedudukan ke-11, manakala perdagangan antarabangsa kekal kukuh dengan peningkatan satu anak tangga ke tempat kelima dunia.
Pelaburan antarabangsa turut mencatat prestasi kukuh apabila melonjak tujuh anak tangga ke kedudukan ke-19, mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin kukuh terhadap ekonomi negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial