DUNIA

Simola Wa Nikmati Limpahan Ekonomi Hasil Program Pembasmian Kemiskinan

18/06/2026 05:58 PM

Daripada Siti Zanariah Nor Zin

TENGCHONG (China), 18 Jun (Bernama) – Daripada sebuah perkampungan yang bergantung kepada pertanian sara diri, Kampung Simola Wa di Pekan Qingshui, Wilayah Yunnan kini menjadi contoh kejayaan dasar pembasmian kemiskinan dalam mengubah kehidupan masyarakat luar bandar.

Transformasi kampung etnik Wa bukan sahaja menyaksikan peningkatan pendapatan penduduk, malah mewujudkan peluang pekerjaan baharu, menggalakkan keusahawanan dan mengurangkan penghijrahan golongan muda ke bandar.

Timbalan Datuk Bandar Pekan Qingshui, Zhao Jiaqing berkata sebelum pelaksanaan program pembasmian kemiskinan, kebanyakan penduduk setempat bergantung sepenuhnya kepada hasil pertanian seperti padi dan jagung yang banyak dipengaruhi faktor cuaca.

“Pada masa itu, kehidupan penduduk hanya sekadar cukup untuk menyara keluarga. Ramai juga terpaksa meninggalkan kampung untuk mencari pekerjaan di bandar kerana kekurangan peluang ekonomi di sini,” katanya kepada delegasi media Asia Pasifik yang melawat kampung itu baru-baru ini.

Beliau berkata perubahan mula berlaku apabila kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan termasuk menaik taraf infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan saliran, selain menyediakan bantuan kepada penduduk untuk mengembangkan aktiviti ekonomi.

Menurut Zhao, pendekatan yang digunakan tidak hanya tertumpu kepada bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada pembangunan penduduk seperti menyediakan latihan dan kemahiran. 

“Terdapat 73 isi rumah dengan kira-kira 300 penduduk yang kini boleh bekerja di kafe, mengusahakan inap desa, membuka kedai cenderamata atau menjalankan perniagaan sendiri.

“Program pembasmian kemiskinan bukan sahaja membantu penduduk meningkatkan pendapatan, tetapi juga mengubah cara pemikiran mereka untuk melihat potensi diri,” katanya.

Selain sektor pelancongan, penduduk turut mengusahakan tanaman secara lebih sistematik menerusi koperasi, membolehkan hasil pengeluaran dipertingkatkan dan dipasarkan dengan lebih meluas. 

Pengusaha kafe, Luo Ai Yan (she), 45, berkata program pembasmian kemiskinan dan pemulihan luar bandar telah membawa perubahan besar kepada kehidupannya serta penduduk lain yang sebelum ini bergantung kepada hasil pertanian untuk meneruskan kehidupan.

“Kini saya bekerja di sebuah kafe di kampung ini dan pada masa sama mengusahakan inap desa sendiri. Kerajaan turut menyediakan benih tanaman percuma, membolehkan kami menjana pendapatan yang lebih baik,” katanya.

Bagi pengusaha kedai makan, Yang Caiqin, 59,  peningkatan jumlah pelancong yang berkunjung ke kampung itu telah memberi manfaat kepada perniagaannya yang singgah untuk menikmati makanan tempatan.

“Dulu pelanggan kami kebanyakannya penduduk kampung, tetapi sekarang semakin ramai pelancong datang makan di sini. Saya gembira melihat kampung ini semakin meriah dan perniagaan kami turut mendapat manfaat daripada perkembangan pelancongan,” katanya.

Kampung Simola Wa diisytiharkan bebas kemiskinan pada 2020, selari dengan pengumuman China mengenai kejayaan menghapuskan kemiskinan tegar di seluruh negara.

Kejayaan itu turut memberi kesan kepada golongan muda, dengan lebih ramai memilih untuk terus tinggal dan bekerja di kampung berikutan peluang pekerjaan yang semakin berkembang.

Tahun lalu, kampung itu menerima kira-kira 640,000 pelancong, menjadikan sektor perkhidmatan dan pelancongan sebagai pemacu utama ekonomi tempatan, manakala sektor kebudayaan menyumbang sekitar 10 peratus kepada ekonomi setempat.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan