KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Platform e-hailing, inDrive Malaysia, merekodkan lebih 1.2 juta perjalanan yang diselesaikan pada Mei 2026, sekali gus mencatat rekod tertinggi bulanan setakat ini.
Ketua inDrive Malaysia Govin Kumaar berkata berbanding Januari 2026, jumlah perjalanan selesai di platform itu meningkat 8.7 peratus, rakan pemandu aktif naik 10.2 peratus, manakala bilangan penumpang meningkat 1.9 peratus.
Secara bulanan, jumlah pemandu aktif turut mencatat peningkatan 5.5 peratus pada Mei 2026, manakala bilangan penumpang naik 1.1 peratus berbanding April 2026.
Dalam perkembangan lain, syarikat itu mengumumkan kejayaan memperbaharui lesen operasi perkhidmatan e-hailing, sekali gus membolehkan inDrive terus beroperasi di Malaysia sehingga 2028.
Dalam sidang media berasingan, Govin berkata syarikat itu sedang meneliti potensi perluasan perkhidmatan di Malaysia, namun belum membuat keputusan muktamad mengenai pengenalan perkhidmatan lain seperti penghantaran barangan.
“Setakat ini, kami belum dapat mengesahkan sebarang perkhidmatan baharu di Malaysia kerana tumpuan masih diberikan kepada perkhidmatan e-hailing,” katanya sambil enggan mengulas mengenai pegangan pasaran inDrive di negara ini.
Beliau menegaskan inDrive memberi tumpuan kepada inovasi serta usaha memperkasa pendapatan rakan pemandu, selain menekankan keunikan model perniagaan platform itu berbanding pesaing lain.
“Menerusi model penetapan harga rakan setara (peer-to-peer), penumpang akan menerima tambang yang disyorkan selepas memasukkan destinasi, namun kedua-dua pihak iaitu penumpang dan pemandu boleh berunding dan menetapkan harga sebelum mencapai persetujuan bersama.
“Sebagai contoh, jika saya menawarkan RM20 untuk perjalanan dari titik A ke titik B dan pemandu mahukan RM25, pemandu boleh membuat tawaran balas pada RM25. Penumpang kemudian boleh menerima atau menolak harga tersebut. Itulah yang membezakannya,” katanya.
Pengurus Operasi Pemandu inDrive Malaysia Azlan Anwar berkata syarikat itu kini berada dalam kalangan tiga pemain utama e-hailing di Malaysia.
“Kami hanya mengenakan kadar komisen 10.99 peratus kepada pemandu, sekali gus membolehkan mereka memperoleh bahagian pendapatan yang lebih tinggi daripada setiap perjalanan.
“Kadar ini adalah di bawah had 20 peratus yang dibenarkan oleh pihak pengawal selia,” katanya.
Beliau berkata inDrive Malaysia turut melaksanakan kempen komisen satu peratus untuk tempoh terhad di Lembah Klang dari April hingga Mei 2026 bagi membantu rakan pemandu meningkatkan pendapatan mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial