AM

Jumlah Kendalian Kontena Pelabuhan Klang Meningkat Kepada 6.38 Juta TEU Bagi Jan-Mei

18/06/2026 04:42 PM

SHAH ALAM, 18 Jun (Bernama) -- Pelabuhan Klang mencatat peningkatan jumlah pengendalian kontena sebanyak 5.4 peratus kepada 6.38 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) setakat Januari hingga Mei 2026 berbanding 6.05 juta TEU bagi tempoh sama tahun lepas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Pelabuhan Klang turut mencatatkan pertumbuhan melebihi empat peratus pada suku pertama yang mengatasi jangkaan pasaran berikutan konflik geopolitik dan ketidaktentuan pasaran.

"Ramai menjangkakan prestasi eksport dan import negara akan berkurangan pada suku pertama disebabkan oleh peperangan di Iran, tetapi nampaknya suku pertama itu melebihi jangkaan dengan angka agak positif," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taman Perindustrian Pintar Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dekat sini, hari ini.

PKFZ Sdn Bhd adalah anak syarikat Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Mengulas impak perjanjian damai Asia Barat membabitkan Amerika Syarikat dan Iran ke atas prestasi Plabuhan Klang, Loke berkata beliau sendiri berharap agar peperangan itu berakhir, sekali gus dapat menyuntik sentimen pasaran yang lebih positif.

Terdahulu, Loke menyaksikan majlis prapelancaran beberapa projek dengan nilai pelaburan baharu terkumpul sebanyak RM566 juta yang merangkumi Wisma Golden Horse, Kuarters Pekerja Berpusat PKFZ, Kilang Suntek Materials Sdn Bhd dan Kilang Golden Horse Rubber Fasa 2.

PKFZ telah mencatat peningkatan jumlah pengendalian kargo sebanyak 14.9 peratus kepada 110,467 TEU pada suku pertama 2026 berbanding tempoh sama 2025.

Bagi tempoh satu setengah tahun lepas sehingga Mei 2026, jumlah hasil dan kutipan PKFZ masing-masing meningkat sebanyak 16 peratus dan 29 peratus berbanding tempoh sama sebelumnya.

Golden Horse Rubber Sdn Bhd, pengeluar tayar antarabangsa yang beroperasi di PKFZ sejak 2018, pula berjaya mencatat jumlah pelaburan kumulatif sebanyak RM800 juta dengan kapasiti pengeluaran tahunan mencecah 7 juta unit tayar untuk pasaran global.

Menerusi usaha sebhagian daripada strategi pengembangan operasinya, syarikat itu turut memajak bangunan sembilan tingkat PKFZ selama 30 tahun dikenali sebagai Wisma Golden Horse bagi menempatkan pusat pengurusan, pejabat pentadbiran serantau dan kemudahan penginapan pekerja.

Golden Horse Rubber juga sedang melaksanakan Fasa 2 pelaburan bernilai RM500 juta yang dijangka mewujudkan kira-kira 500 peluang pekerjaan baharu serta memperkukuh kedudukan PKFZ sebagai hab pembuatan dan eksport strategik bagi pasaran ASEAN dan global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan