EKONOMI

JETP Pemangkin Maju Johor 2030, Pastikan Manfaat Ekonomi Dinikmati Rakyat - Onn Hafiz

18/06/2026 03:04 PM

JOHOR BAHRU, 18 Jun (Bernama) -- Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) bukan sekadar pelan pembangunan ekonomi, malah menjadi pemangkin utama kepada agenda Maju Johor 2030, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata pelan itu bertujuan memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai secara langsung oleh rakyat di seluruh negeri ini.

Katanya JETP dibangunkan berasaskan prinsip bahawa pertumbuhan ekonomi bukanlah matlamat akhir, sebaliknya kemakmuran yang dikongsi bersama seluruh Bangsa Johor.

“JETP bukanlah satu agenda yang berdiri sendiri, sebaliknya menyediakan landasan untuk memastikan setiap aspirasi Maju Johor dapat dilaksanakan melalui pertumbuhan ekonomi yang mampan, inklusif dan berimpak tinggi,” katanya dalam ucapan melancarkan JETP di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han.

JETP digariskan dengan tiga objektif utama iaitu memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab ekonomi utama negara, menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang menawarkan pendapatan lebih baik kepada rakyat.

Onn Hafiz berkata JETP akan menyokong pelaksanaan enam teras utama Maju Johor 2030, iaitu tadbir urus kerajaan, pembangunan ekonomi, jaringan keselamatan sosial, kemudahan dan keperluan asas, keselamatan serta kelestarian dan pembangunan golongan muda.

Katanya lapan industri yang bakal menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Johor meliputi sektor kimia dan petrokimia, kesihatan dan farmaseutikal, tenaga, elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, logistik, pelancongan serta pertanian.

Beliau berkata dalam merealisasikan aspirasi ini, kemajuan Johor tidak boleh tertumpu di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sahaja, sebaliknya berkembang di seluruh negeri Johor. 

“Tiada daerah yang akan ditinggalkan. Tiada komuniti yang akan dipinggirkan kerana setiap daerah mempunyai keunikan dan kekuatan serta potensinya sendiri. 

“Matlamatnya adalah memastikan Bangsa Johor boleh belajar, bekerja, berniaga dan membina masa depan di negeri sendiri,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan