JENAYAH & MAHKAMAH

Jurujual Mengaku Bersalah Tetak Penunggang Motosikal

18/06/2026 12:04 PM

SHAH ALAM, 18 Jun (Bernama) -- Seorang jurujual mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menetak seorang penunggang menggunakan pisau pemotong daging di Lebuhraya Persekutuan, Selasa lepas.

Azmi Jantan, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Fatimah Zahari.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Mohd Fairus Jaafar, 45, menggunakan sebilah pisau pemotong daging yang merupakan senjata boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan itu dilakukan di Kilometer (KM) 14.6 laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, Seksyen 13, di sini, pada 8.19 pagi, 11 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksten 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ho Zee Xing menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan kepada RM5,000 atas alasan mempunyai tanggungan isteri selain hanya bekerja sebagai jurujual. 

Mahkamah kemudian membenarkan lelaki itu diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin warganegara serta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 8 Julai untuk mengemukakan fakta kes dan menjatuhkan hukuman. 

Sebelum ini, tular satu video memaparkan seorang lelaki cedera di beberapa bahagian badan termasuk kepala dan lengan selepas ditetak dengan pisau pemotong daging oleh seorang lelaki lain di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur berhampiran Seksyen 13.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, mangsa yang dalam perjalanan ke tempat kerja di ibu negara dipercayai membunyikan hon kepada suspek kerana menghalang laluan sebelum berlaku pertengkaran yang membawa kepada insiden tetakan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan