AM

PM Ke Kazan Perkukuh Hubungan Malaysia-Rusia, Kerjasama ASEAN-Rusia - Duta

16/06/2026 09:54 PM

Daripada Nurul Hanis Izmir

KAZAN (Rusia), 16 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan dengan Rais Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov, menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan ASEAN-Rusia, menghadiri resepsi oleh Presiden Rusia Vladimir Putin serta mengadakan mesyuarat dua hala dengan pemimpin Rusia sepanjang lawatan kerja dua hari beliau ke Kazan bermula 17 Jun.

Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai berkata sepanjang lawatan kerja Perdana Menteri itu, perbincangan yang bakal berlangsung dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga, keterjaminan makanan, ekonomi digital, pendidikan, budaya dan pelancongan.

“Malaysia berharap lawatan ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama baharu dan memperkukuh lagi hubungan strategik yang telah terjalin antara Malaysia dan Rusia, selain menyumbang kepada pengukuhan hubungan ASEAN-Rusia secara keseluruhan,” katanya kepada media menjelang ketibaan Anwar di Kazan malam ini.

Anwar akan berada di Kazan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia ke-35 yang berlangsung pada 17 dan 18 Jun.

Turut menganggotai delegasi Malaysia ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Cheong berkata Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Rustam Minnikhanov sejurus tiba di Kazan malam ini, bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama sedia ada antara Malaysia dan republik berkenaan.

“Kedua-dua pemimpin yang telah beberapa kali bertemu sepanjang dua tahun lepas, dijangka meneruskan perbincangan mengenai kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan serta dialog ilmiah ketamadunan Islam menerusi Special Vision Group (SVG) Russia and the Islamic World.

“Pada 17 Jun, Anwar dijadual menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan ASEAN-Rusia yang akan menghimpunkan lebih 400 pemimpin korporat dan perniagaan dari Rusia serta negara anggota ASEAN,” katanya.

Anwar juga turut dijadual ditemu bual dalam sesi wawancara eksklusif bersama media Russia Today News sebelum menghadiri resepsi sempena Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia ke-35, yang dihoskan Presiden Rusia Vladimir Putin dan dihadiri pemimpin ASEAN.

Anwar juga akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Putin, yang disusuli mesyuarat dua hala bagi membincangkan kerjasama strategik Malaysia-Rusia, termasuk usaha memperdalam, meningkatkan dan meneroka bidang kerjasama baharu serta mencari penyelesaian terhadap isu dan cabaran yang dihadapi bersama.

Cheong berkata pada 18 Jun, ASEAN dan Rusia akan memperingati ulang tahun ke-35 hubungan dialog ASEAN-Rusia melalui Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia ke-35 serta Majlis Makan Tengah Hari Kerja yang melibatkan para Pemimpin ASEAN dan Rusia.

“Selain itu, para pemimpin dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama dan pertukaran pandangan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak, untuk memperkukuh persefahaman dan meneroka bidang kerjasama baharu yang dapat menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau,” katanya.

Sidang Kemuncak tersebut dijangka menghasilkan empat dokumen utama, iaitu Deklarasi Kazan Sempena Ulang Tahun ke-35 Hubungan ASEAN-Rusia, Kenyataan Bersama Kerjasama Tenaga, Kenyataan Bersama Kerjasama Kebudayaan, serta Pelan Tindakan Komprehensif bagi Melaksanakan Perkongsian Strategik ASEAN-Rusia 2026-2030.

Dokumen-dokumen ini akan menjadi panduan penting dalam memperkukuh kerjasama masa hadapan serta membina perkongsian ASEAN-Rusia yang lebih berdaya tahan dan berorientasikan masa hadapan.

Sementara itu, di tanya sama ada isu pembelian minyak dan gas dari Rusia akan dibincangkan, Cheong berkata beliau percaya perkara tersebut akan dibangkitkan dalam pertemuan itu.

“Ini sesuatu yang saya rasa akan berhubung dengan perbincangan ini, kerana saya rasa itu satu daripada isu penting yang berada di hadapan dalam perbincangan. Saya percaya ia akan berlaku,” katanya, sambil merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri sebelum ini mengenai perkara tersebut.

Anwar baru-baru ini dilaporkan berkata agenda menjamin bekalan tenaga negara terus menjadi keutamaan kerajaan, apabila beliau melakukan lawatan kerja ke Kazan, Rusia bagi mengadakan pertemuan penting dengan Putin.

Anwar berkata lawatan itu, yang melibatkan mesyuarat antara pemimpin ASEAN dengan kepimpinan Rusia, akan dimanfaat bagi memastikan kelangsungan dan jaminan bekalan minyak ke Malaysia.

Pada 2024, jumlah dagangan ASEAN-Rusia berjumlah US$18.1 bilion manakala nilai pelaburan langsung asing Rusia ke ASEAN direkodkan sebanyak RM367.90 juta (US$92.97 juta).

Bagi Malaysia, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar negara dalam kalangan negara Eropah pada 2025, dengan jumlah dagangan RM8.72 bilion (US$2.04 bilion).

Eksport utama Malaysia ke Rusia terdiri daripada produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti serta makanan diproses, manakala import utama dari Rusia meliputi produk petroleum, mineral, bahan kimia dan produk berasaskan kimia.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan