AM

Enam Syarikat Disyaki Terlibat Kartel Tipu Bida Tender AADK RM5.7 Juta - MyCC

16/06/2026 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap enam perusahaan kerana disyaki terlibat dalam kartel menipu bida bagi tender pembekalan makanan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bernilai RM5.7 juta.

Pengerusi MyCC Tan Sri Idrus Harun dalam satu kenyataan berkata hasil siasatan suruhanjaya itu mendapati kesemua perusahaan terbabit terlibat dalam perkongsian maklumat dan berpakat dalam penyediaan bidaan mereka.

Beliau berkata MyCC mendapati  bahawa  perjanjian  sedemikian  mempunyai  objektif  untuk  menghalang, menyekat  atau  mengekang  persaingan  secara  ketara  berhubung  dengan  perolehan awam dalam pembekalan makanan mentah, segar dan kering. 

"Perusahaan-perusahaan  ini didapati  secara  berperingkat  telah  melanggar  seksyen  4(1)  dibaca  bersama  seksyen 4(2)(d)  dan  4(3)  Akta  Persaingan  2010  [Akta  712].  Tender  yang  terjejas  melibatkan  nilai perolehan sebanyak RM5.7 juta," katanya.

Bagaimanapun, Idrus berkata pada peringkat ini, Keputusan Cadangan tersebut merupakan dapatan awal dan tidak boleh dianggap perusahaan berkenaan telah melanggar Akta 712 secara konklusif.

Setakat ini, katanya, kesemua perusahaan terbabit telah dimaklumkan mengenai cadangan penalti kewangan yang akan dikenakan terhadap mereka.

“Mereka diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh 30 hari selepas menerima Keputusan Cadangan serta membentangkan representasi lisan di hadapan Suruhanjaya pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

“MyCC hanya akan mengeluarkan Keputusan Akhir selepas mempertimbangkan representasi yang dibuat oleh perusahaan-perusahaan ini bersama-sama dengan bukti yang diperoleh semasa penyiasatan,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan