KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Isnin, seiring dengan kenaikan semalaman di Wall Street berikutan pelabur kembali memberi tumpuan kepada saham teknologi, yang terus mendapat manfaat daripada kitaran pertumbuhan kecerdasan buatan (AI) yang pesat.
Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.50 mata kepada 1,691.13 daripada 1,683.63 semasa ditutup minggu lepas.
Indeks utama dibuka tinggi 6.76 mata kepada 1,690.39.
Pasaran secara menyeluruh positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 349 berbanding 160 manakala 273 kaunter tidak berubah, 1,915 tidak diniagakan dan 36 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 539.66 juta saham bernilai RM217.18 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan, pihaknya menjangka sektor teknologi mencatat peningkatan semula dan memilih syarikat semikonduktor berikutan sektor tersebut terus menjadi antara penerima manfaat terbesar daripada kitaran pertumbuhan pesat AI.
“Kami percaya kesediaan pelabur untuk mengambil risiko secara keseluruhannya kekal tinggi berikutan tawaran awam permulaan (IPO) SpaceX milik Elon Musk mencatat sejarah apabila mula disenaraikan di Wall Street, ditutup pada penilaian US$2.1 trilion pada hari pertama dagangannya,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB, masing-masing meningkat 16 sen kepada RM10.88 dan RM7.55, Public Bank menambah empat sen kepada RM4.87, Tenaga Nasional naik 10 sen kepada RM14.52 dan IHH Healthcare menokok tiga sen kepada RM8.81.
Bagi saham aktif, Hong Seng Consolidated mendatar pada satu sen, Tanco menurun lima sen kepada 15 sen dan Top Glove berkurangan satu sen kepada 79.5 sen. Pentech yang mula disenaraikan di Pasaran ACE meningkat lima sen kepada 25 sen dan AirAsia X naik enam sen kepada RM1.26.
Kaunter paling untung ialah Malaysian Pacific Industries menokok RM1.28 kepada RM48.78, Nestle naik RM1.20 kepada RM96.80, Batu Kawan menambah 50 sen kepada RM20.80, Vitrox meningkat 23 sen kepada RM7.47 dan Sunway Construction naik 17 sen kepada RM7.22.
Dalam kalangan kaunter paling rugi, Paragon menurun 98 sen kepada RM2.29, Petronas Chemicals berkurangan 47 sen kepada RM4.87, Ralco merosot 29 sen kepada 69 sen, Concrete Engineering menyusut 20 sen kepada RM4.0 dan United Plantations menurun 18 sen kepada RM31.32.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 63.95 mata kepada 12,538.57, Indeks FBM Top 100 meningkat 61.56 mata kepada 12,377.50 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 31.92 mata kepada 12,454.22.
Indeks FBM Mid 70 melonjak 118.27 mata kepada 18,002.42 dan Indeks FBM ACE naik 43.79 mata kepada 4,712.46.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 186.34 mata kepada 19,830.70 dan Indeks Perladangan naik 15.95 mata kepada 8,768.03 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menurun 2.85 mata kepada 194.08 dan Indeks Tenaga merosot 9.41 mata kepada 765.96.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial