Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Lebih dua dekad selepas bergelar pemandu Asia pertama merangkul juara Kejohanan Rali Dunia FIA (PWRC), legenda rali negara Karamjit Singh masih gigih meneruskan minatnya sebagai pelumba.
Namun, realiti dihadapi pelumba rali paling berjaya di Malaysia itu pada masa ini jauh berbeza daripada hakikat yang pernah memacunya ke persada dunia pada 2002.
Insan yang pernah menerajui kejuaraan Malaysia di pentas rali global itu kini lebih ligat beraksi dari segi melakukan kerja-kerja memulihara sebuah kereta rali yang kian berusia dan sukar dipecut semaksimum mungkin berikutan risiko mengalami kegagalan mekanikal.
“Sebahagian besar daripada kereta ini sudah pun berusia. Saya memandunya semata-mata untuk menyelamatkan (meneruskan hayat) kereta ini. Saya tidak lagi dapat memandunya seperti sebelum ini kerana jika mencecah (kemampuan) sehingga 100 peratus, kereta ini akan rosak,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Pastinya, realiti itu jauh berbeza daripada era kegemilangan pasukan Petronas EON Racing Team (PERT) yang membuktikan bersandarkan sokongan, sumber kejuruteraan serta sokongan korporat dapat melonjakkan Karamjit dan Proton dikenali di peringkat antarabangsa.
Berkongsi pandangannya, mantan Ketua Proton Motorsport Datuk Abdul Razak Dawood berkata kehadiran berterusan Karamjit dalam sukan itu jelas menjadi peringatan mengenai aset Malaysia yang belum dimanfaatkan sepenuhnya.
“Apa yang penting sekarang, kita sememangnya ada bakat itu. Bakat bertaraf dunia, bukan hanya di Malaysia, tetapi juga Asia Pasifik,” katanya.
Antara PERT, impian sukan rali Malaysia
Abdul Razak juga percaya bahawa nilai sebenar sukan permotoran jauh melangkaui daripada aspek pertandingan semata-mata.
Mengimbau pengalamannya ketika era Formula Satu Malaysia dan kejayaan sukan rali Proton, beliau berkata program sukan permotoran utama itu turut menjana manfaat ekonomi dan promosi yang besar untuk negara.
“Perolehan perniagaan kepada negara juga besar, bukan setakat tidak langsung tetapi dari segi limpahan dan pengganda besar.
“Untuk pengetahuan anda, ramai yang mendapat manfaat itu secara langsung dan tidak langsung. Sudah pasti, negara ini turut menerima kesan dari segi imej...imej di peringkat global serta liputan (media) antarabangsa,” katanya.
Pada masa sama, Abdul Razak berkata kejayaan antarabangsa itu turut menyuntik pengiktirafan global untuk Proton yang pastinya sukar dicapai jika sekandar bersandarkan kempen pemasaran konvensional.
Kejayaan global sedemikian diraih menerusi PERT -- satu pakatan melibatkan Proton, Petronas dan EON yang memacu impian sukan rali Malaysia ke persada global.
Menerusi kerjasama erat dengan cabang Ralliart Mitsubishi, pasukan itu menikmati kejayaan besar dalam kejuaraan serantau dan antarabangsa dengan kemuncaknya menerusi kejayaan bersejarah gelaran PWRC pada 2002 serta melakar beberapa kejayaan Kejuaraan Rali Asia Pasifik.
R3 dan perniagaan berteraskan prestasi
PERT yang ditubuhkan pada 1987, namun jentera rali yang ditandingi secara aktif pada era itu diluluskan mengikut spesifikasi pertandingan serta dipasarkan secara rasmi di bawah nama model Proton PERT.
Program itu kemudian berkembang menjadi satu lagi bab penting dalam perjalanan sukan permotoran Proton menerusi penubuhan unit Race, Rally, Research (R3) pada 2003.
Abdul Razak dan Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel merupakan antara individu penting di sebalik kejayaan unit itu sewaktu era kegemilangannya.
R3 diwujudkan sebagai bahagian prestasi dan kejuruteraan dalaman yang bertujuan menterjemahkan pengalaman sukan permotoran Proton ke jalan raya, sambil membina keupayaan kejuruteraan syarikat itu.
Pembabitan R3 dalam sukan permotoran merangkumi dua era yang berbeza. Dalam fasa rali antarabangsa antara 2003 hingga 2011, kejayaan terbesar diraih menerusi program Satria Neo S2000 yang menyapu bersih kesemua lapan gelaran utama Kejohanan Rali Asia-Pasifik FIA 2011.
Mulai 2012, R3 mengalihkan tumpuan kepada perlumbaan litar domestik dan muncul sebagai kuasa dominan di Litar Antarabangsa Sepang.
R3 kemudiannya menjadi pasukan paling berjaya dalam sejarah Sepang 1,000 kilometer dengan lima kemenangan keseluruhan menggunakan model Proton yang dibangunkan khusus untuk perlumbaan, termasuk Satria Neo, Suprima S, Iriz dan Saga MTC.
Tengku Djan yang masih aktif dalam arena perlumbaan selain bergelar usahawan berkata objektif penubuhan R3 bukan sekadar untuk bersaing di litar, tetapi turut mewujudkan nilai tambah kepada jenama Proton secara keseluruhan.
“Proton mahu memanfaatkan kelebihan itu. Persoalannya ialah bagaimana untuk memanfaatkannya dan pada masa sama membina premium jenama supaya orang ramai memilih aksesori Proton berbanding ratusan pilihan lain yang ada di pasaran.
“Atas alasan itu kami mewujudkan program sukan permotoran. Jika dilaksanakan dengan betul, sukan permotoran mampu meningkatkan nilai dan imej jenama secara positif,” katanya.
Antara projek paling ikonik yang pernah dihasilkan R3 ialah model edisi terhad Satria Neo Lotus Racing yang dilancarkan sempena ulang tahun ke-25 Proton.
“Kami pernah menghasilkan Satria Neo Lotus Racing ketika Lotus kembali bersaing dalam Formula Satu. Bersempena ulang tahun ke-25 Proton, kami mengeluarkan hanya 25 unit dan kesemuanya berjaya dijual.
“Sehingga hari ini, model tersebut masih dianggap sebagai antara ikon automotif tempatan,” kata Tengku Djan.
Menurut beliau, projek itu membuktikan bahawa penglibatan dalam sukan permotoran mampu diterjemahkan kepada kejayaan komersial.
R3 juga katanya, berjaya membina imej jenama yang positif sehingga berkembang menjadi jenama premium yang terus mendapat tempat dalam kalangan peminat automotif hingga ke hari ini.
“Dari segi objektif, saya rasa kami berjaya mencapainya,” katanya.
Walaupun unit R3 secara rasmi ditamatkan pada tahun lepas, beliau percaya kisah dan legasinya masih belum berakhir sepenuhnya.
Sebagai antara individu yang terlibat dalam membina jenama berkenaan, beliau mengakui sedih dengan keputusan itu namun menganggapnya sebagai sebahagian daripada anjakan lebih besar dalam keutamaan perniagaan Proton.
"Sebagai perintis yang membangunkan jenama ini, pasukan ini serta kesemua aktiviti yang kami laksanakan sepanjang tahun, sememangnya menyedihkan apabila ia ditutup," kata beliau.
Beliau juga percaya bahawa penamatan ini mungkin bersifat sementara.
Tengku Djan berkata hanya masa yang menentukan sebelum Proton kembali semula ke sukan permotoran memandangkan pengeluar kereta nasional itu sudah pun mempunyai asas kukuh untuk kembali pada masa hadapan menerusi legasi Proton Motorsport dan R3.
"Mereka tidak perlu bermula dari sifar. Mereka sudah pun mempunyai legasi jenama Proton Motorsports dan R3," katanya.
Perubahan landskap sukan permotoran
Usaha untuk mengekalkan momentum ternyata bukan satu tugas yang mudah.
Abdul Razak berpendapat sukan rali Malaysia secara beransur-ansur hilang arah apabila sokongan penajaan semakin berkurangan manakala penglibatan syarikat pengeluar kenderaan pula makin lemah.
"Kita kehilangan penaja, kita hilang arah dan tiada tindakan susulan dilakukan. Syarikat pengeluar kenderaan juga tidak memberikan sokongan," kata beliau.
Karamjit pula berpendapat sokongan yang tidak konsisten turut menyukarkan para pelumba untuk merancang kempen antarabangsa dalam jangka masa panjang.
Mengambil iktibar daripada pengalaman sendiri, beliau berkata perubahan dalam kepimpinan dan keutamaan sering kali mengganggu sesuatu inisiatif sebelum sempat dilaksanakan sepenuhnya.
Beliau turut mengimbau tempoh selepas memenangi tiga rali berturut-turut di Indonesia apabila bantuan yang dijanjikan gagal diperoleh susulan pertukaran kepimpinan dalam kementerian berkaitan.
"Serius, sehingga ke hari ini saya masih membayar hutang. RM100,000 bukannya satu jumlah kecil," kata Karamjit.
Abdul Razak juga membangkitkan mengenai liputan media sebagai antara aspek yang sukar untuk memastikan perkembangan seiring dengan kemajuan sukan itu.
“Oleh itu, jika penganjur rali tidak mempunyai kemudahan pusat media yang baik atau pegawai media untuk menyebarkan berita, mereka tidak akan dapat mengekalkan kelangsungan berita berkenaan," katanya.
Sokongan pengeluar kepada penjenamaan peribadi
Abdul Razak melihat isu itu dari sudut pandang seorang bekas pembina pasukan dan pentadbir manakala Tengku Djan pula menilainya dari perspektif sebuah industri yang berubah secara asasnya.
Baginya, sukan permotoran hari ini tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada bakat dan keputusan perlumbaan semata-mata sebaliknya para pelumba semakin perlu berfikir seperti usahawan.
"Saya melihat ramai pelumba muda hari ini. Mereka menonjolkan diri, mereka sangat aktif di media sosial, mereka mempromosikan aktiviti-aktiviti yang mereka lakukan.
"Syarikat-syarikat, pihak korporat juga beralih ke platform media sosial untuk melihat apa yang sedang berlaku di sana dan siapa individu berpengaruh yang mampu menarik perhatian, sebagai contoh," katanya.
Perubahan itu menandakan satu peralihan ketara daripada persekitaran yang pernah membentuk generasi Karamjit sebelum ini.
"Karamjit berlumba ke luar negara, beraksi dengan baik, namun (pada masa sama) beliau juga ada sedikit tuah. Sebagai contoh, PERT dan Datuk Abdul Razak melihat potensi dalam dirinya, memilihnya dan kemudian mengembangkan lagi bakatnya.
“Sebaliknya pada masa sekarang, proses itu jauh lebih tersusun. Jika anda mempunyai potensi, peluang untuk maju sentiasa ada," kata Tengku Djan.
Pada masa yang sama, persaingan untuk meraih perhatian kini semakin sengit.
"Keputusan daripada perlumbaan seolah-olah seperti kejayaan sampingan sekarang. Sama ada anda menang atau kalah, ini mungkin tidak lagi begitu penting. Sebaliknya, cara anda berinteraksi dengan pengikut anda atau dalam erti kata lain, cara anda mengendalikan media sosial adalah jauh lebih penting," katanya.
Potensi sukan rali belum dimanfaatkan
Meskipun berdepan pelbagai cabaran, Karamjit tetap optimis terhadap potensi Malaysia dalam sukan rali.
Beliau berkata sukan rali boleh dipertandingkan di atas pelbagai permukaan jalan yang berbeza, termasuk di jalan berturap dan jalan kerikil, dan beliau percaya Malaysia memiliki kelebihan semula jadi yang sebahagian besarnya masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Menurut beliau, rangkaian jalan ladang sawit yang luas di negara ini amat sesuai sebagai lokasi perlumbaan rali di jalan kerikil.
Beliau juga percaya pelumba luar negara akan menyambut baik peluang untuk bertanding di Malaysia dan melihat potensi bagi penglibatan korporat yang lebih besar melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat perladangan.
Pendapatnya turut dipersetujui Abdul Razak yang menyentuh kemudahan infrastruktur dan kapasiti penginapan yang mencukupi serta pengalaman Malaysia dalam menganjurkan acara utama sukan permotoran.
"Malaysia sememangnya menjadi pilihan utama. Ini kerana kita mempunyai infrastruktur dari segi hotel dan sebagainya. Kita jauh lebih baik daripada apa yang mereka ada di sana," katanya.
Hala tuju masa depan
Bagi kemajuan masa depan, Abdul Razak percaya salah satu keutamaan terbesar Malaysia sepatutnya memelihara dan menurunkan ilmu serta pengalaman yang telah dikumpul oleh salah seorang bakat sukan permotoran terhebat negara.
Beliau turut mendedahkan bahawa satu cadangan telah dikemukakan sebelum ini untuk menubuhkan sebuah akademi pemanduan rali yang diterajui Karamjit, namun idea itu masih belum membuahkan hasil.
Sehubungan itu, Abdul Razak mencadangkan agar sekolah rali yang melibatkan Karamjit dan beberapa pemandu berpengalaman boleh ditubuhkan dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan.
"Tubuhkan sekolah pemanduan rali di sini dengan melibatkan Karamjit dan mungkin disokong oleh dua atau tiga pemandu lain untuk mewujudkan akademi pemanduan, sekolah sukan rali," katanya.
Beliau menjelaskan inisiatif seperti itu tidak memerlukan pelaburan yang besar, dengan menganggarkan satu program yang sederhana boleh dilancarkan dengan bajet antara RM100,000 hingga RM200,000 dan berpotensi melibatkan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Kita tidak memerlukan sekolah yang besar. Kita hanya perlukan beliau (Karamjit) dan beberapa orang pemandu serta sedikit ruang untuk melaksanakan perkara ini," katanya.
Abdul Razak juga menzahirkan harapan agar Terbang, sebuah filem akan datang yang diilhamkan daripada kerjaya sukan rali Karamjit dan era kegemilangan PERT, dapat membantu menyemarakkan semula minat terhadap sukan berkenaan.
"Kesemua perkara ini dicetuskan semula kerana Karamjit. Saya berharap filem ini akan memberi inspirasi kepada penubuhan satu lagi PERT. Satu pasukan PERT yang baharu," tambah beliau.
Bagaimanapun, Abdul Razak menegaskan sebarang usaha kebangkitan semula sukan itu memerlukan usaha bersepadu melibatkan agensi kerajaan, pengeluar kenderaan, penaja, penganjur dan badan pengawal selia sukan permotoran.
Karamjit pula berharap agar rakyat Malaysia tidak hanya mengingati pencapaian masa lalu, tetapi juga memberikan tumpuan kepada usaha membina semula sukan itu untuk generasi akan datang.
"Saya berharap orang ramai mengingati semua kejayaan indah sebelum ini namun pada masa sama turut memikirkan masa depan. Kita mahu menghidupkan semula hari-hari kegemilangan dan era keemasan pada tahun 80-an dan 90-an yang mana, sepertimana saya katakan tadi, seluruh Asia sebenarnya datang ke Malaysia untuk belajar daripada kita mengenai kaedah menganjurkan rali.
"Itulah harapan saya. Saya amat berharap perkara itu dapat menjadi kenyataan untuk Malaysia kerana itulah yang sewajarnya untuk kita capai," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial