AM

Usaha Perkukuh Perpaduan Perlu Berterusan, Menyeluruh - Aaron

13/06/2026 05:43 PM

KOTA KINABALU, 13 Jun (Bernama) -- Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan bahawa perpaduan tidak boleh dibentuk melalui satu program semata-mata, sebaliknya memerlukan usaha berterusan, konsisten dan menyeluruh. 

Beliau berkata perpaduan bukan bersifat one-off, tetapi satu komitmen berpanjangan yang perlu dibina, sekali gus diperkukuh dari semasa ke semasa.

Sehubungan dengan itu, Aaron berkata kementerian telah melaksanakan sebanyak 762 program merangkumi pengukuhan jati diri, kenegaraan, kesukarelawanan, pembangunan komuniti serta keharmonian antara agama pada tahun lepas.

"Pelaksanaan ini mencerminkan pendekatan menyeluruh dalam memperkukuh perpaduan nasional. Hasilnya dapat dilihat dengan jelas melalui Indeks Perpaduan Nasional 2025 apabila perpaduan rakyat Malaysia terus menunjukkan peningkatan dengan skor 0.701, tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.

"Peningkatan ini menunjukkan trend konsisten sejak 2018, apabila indeks merekodkan 0.567, meningkat kepada 0.629 pada 2022 dan 0.701 pada 2025, sekali gus melepasi paras sederhana tinggi serta mencapai sasaran di bawah Rancangan Malaysia Ke-12," katanya.

Aaron berkata demikan ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Negara Peringkat Kebangsaan 2026, yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan negeri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Mengulas lanjut, Aaron berkata kementeriannya sentiasa komited dalam memperkukuh pembangunan komuniti pada peringkat akar umbi melihat peranannya sebagai barisan hadapan perpaduan negara yang paling hampir dengan rakyat.

Beliau berkata gerakan komuniti diperkasakan antara lain menerusi 8,615 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) melibatkan kira-kira 250,000 anggota yang memberikan manfaat kepada lebih 12 juta rakyat Malaysia, dengan pelaksanaan lebih 100,000 aktiviti pada tahun lepas. 

"Kerajaan menyediakan geran tahunan sebanyak RM6,000 bagi setiap KRT. Namun, kadar ini telah lama tidak disemak, justeru saya memohon agar Perdana Menteri mempertimbangkan penambahbaikan atau kenaikan geran KRT tahunan.

"Hal ini bagi membolehkan lebih banyak program komuniti dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan menyeluruh di lapangan," katanya.

Selain itu, Aaron berkata 5,493 Skim Rondaan Sukarela juga terus diperkasakan sebagai usaha keselamatan komuniti berasaskan konsep neighbourhood watch yang telah menjadi fokus sejak penubuhan KRT pada 1975.

Beliau berkata kementerian juga memperkenalkan Skuad Uniti di negeri-negeri sering dilanda banjir sebagai barisan hadapan komuniti dalam membantu mangsa bencana, termasuk menyediakan bantuan makanan dan sokongan pascabencana.

Aaron berkata sebanyak 595 Mediator Komuniti telah dilantik di bawah Kerajaan MADANI sebagai usaha baharu menyediakan khidmat mediasi secara pro bono tanpa melibatkan proses litigasi, dengan 156 kes konflik komuniti berjaya diselesaikan melalui pendekatan ini pada tahun lepas.

"Inisiatif ini turut menjadi satu daripada penanda aras dan amalan terbaik pada peringkat ASEAN dalam pengurusan konflik komuniti secara damai," katanya.

Aaron berkata inisiatif lain ialah memperkasakan 608 Perpustakaan Desa dengan peranan baharu sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat serta aktiviti ekonomi, manakala Arkib@Komuniti pula bagi memperkasakan pengumpulan dan pemeliharaan bahan sejarah bagi peringkat komuniti. 

"Setakat ini, lebih 300,000 bahan telah berjaya dikumpul melalui inisiatif ini," katanya sambil menambah bahawa kesemua inisiatif itu membuktikan komitmen kementerian dalam usaha memperkukuh peranan komuniti sebagai asas kepada perpaduan dan kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan