JOHOR BAHRU, 12 Jun (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) menahan pemilik dan penyelia sebuah premis di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, di sini susulan insiden pelepasan asap berwarna oren disyaki buangan terjadual yang dikesan semalam.
Pengarah JAS Negeri Johor Dr Mohd Famey Yusoff berkata individu berusia 34 dan 41 tahun itu ditahan sekitar 8 malam tadi oleh Pasukan Tangkapan JAS negeri dengan bantuan JAS Cawangan Pasir Gudang.
Beliau berkata siasatan awal mendapati premis gagal mematuhi prosedur pengurusan buangan terjadual serta syarat lesen yang dikeluarkan di bawah Seksyen 16 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Siasatan rapi oleh Unit Premis Yang Ditetapkan Buangan Terjadual (PYDT BT) di lokasi kejadian mengesahkan berlakunya pelanggaran serius undang-undang alam sekitar," katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berkata pemantauan kualiti udara turut dijalankan di kawasan sensitif berhampiran termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih dan SMK Pasir Gudang 3 dengan menggunakan alat Portable Multigas Analyser (CEREX).
Katanya, bagaimanapun tiada parameter gas berbahaya dikesan di kawasan sekitar setakat hari ini.
Mohd Famey berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan pengusaha industri yang mengabaikan aspek pengurusan buangan terjadual sehingga menggugat keselamatan awam dan alam sekitar.
Sebuah tangki industri berkapasiti 200 liter yang mengandungi bahan kimia jenis "Spent Inorganic Acid" (SW206) di sebuah kilang di Jalan Keluli, Pasir Gudang dilaporkan mengalami kebocoran pagi semalam.
Komander Operasi Kanan Timbalan Penguasa Bomba II Firdaus Ahmad berkata tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial