KUALA SELANGOR, 12 Jun (Bernama) -- Semua penempatan haram di Selangor akan ditangani mengikut peruntukan undang-undang termasuk tindakan perobohan tanpa mengira latar belakang penghuninya, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata tindakan terhadap penempatan haram tidak dibuat berdasarkan sentimen atau faktor kewarganegaraan, sebaliknya berpandukan aspek pentadbiran, pengurusan tanah, syarat nyata tanah serta pematuhan kepada peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Isu ini bukan dibuat berdasarkan sama ada melibatkan Rohingya, Indonesia, Vietnam, Nepal atau mana-mana pihak lain.
“Isunya berkaitan pentadbiran dan pengurusan, kelulusan tanah, pengurusan tanah serta kelulusan PBT," katanya kepada media selepas melancarkan Majlis Pembukaan Operasi Loji Sisa ke Tenaga (WTE) 1 di Jeram, di sini, hari ini.
Amirudin berkata kerajaan negeri telah mengambil pelbagai tindakan terhadap penempatan haram termasuk mengeluarkan notis dan amaran kepada pihak terlibat sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.
Beliau turut menjelaskan kebanyakan kes membabitkan penggunaan tanah yang bercanggah dengan syarat nyata tanah atau pembangunan, melebihi keluasan kawasan dibenarkan.
Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri perlu mematuhi proses perundangan ditetapkan termasuk memberi ruang secukupnya kepada pemilik tanah untuk memulihkan keadaan tanah sebelum tindakan lebih tegas seperti perampasan dilaksanakan.
Pada masa sama, beliau berkata pihak pegawai daerah memberi jaminan bahawa tindakan segera akan diambil terhadap penempatan yang melanggar syarat termasuk perobohan dan perampasan tanah mengikut prosedur ditetapkan, sekiranya perlu.
“Proses perampasan tanah bukanlah satu perkara mudah, jadi kita kena beri ruang (prosedur undang-undang). Bagaimanapun, saya telah mendapat jaminan daripada pihak DO (pegawai daerah) bahawa tindakan segera akan dibuat untuk merobohkan struktur haram tersebut.
“Kerajaan negeri sentiasa menyokong dan membantu operasi penguatkuasaan tersebut, termasuk menyediakan logistik seperti lori melalui PBT bagi memindahkan barangan atau mengeluarkan warga asing berkenaan," katanya.
Amirudin berkata isu berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) pula terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), manakala kerajaan negeri dan PBT bersedia membantu dari aspek logistik serta penguatkuasaan berkaitan perbandaran dan penggunaan tanah.
Rabu lepas, Amirudin berkata pelbagai tindakan diambil agensi kerajaan sejak 2016 bagi menangani isu bangunan penempatan etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Hulu Langat, Selangor yang tular di media sosial baru-baru ini.
Pada hari sama, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat memaklumkan satu tindakan perobohan bangunan kediaman bertingkat itu akan dilaksanakan mengikut undang-undang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial