FOKUS BERNAMA

Nasib Jeepney, Pengangkutan Awam Ikonik Filipina Yang Kini Berdepan Ketidakpastian

12/06/2026 10:12 AM
Daripada Soon Li Wei

Bahang panas petang begitu terasa, dan asap daripada ekzos kenderaan yang padat di atas jalan di kota raya yang terkenal dengan kesesakan lalu lintas ini memburukkan lagi keadaan.

Ditambah pula dengan bunyi hon kenderaan yang tidak putus-putus bercampur dengan laungan pemandu jeepney, beca bermotor dan motosikal yang berebut penumpang – satu melodi yang cukup lumrah di metropolitan ini, iaitu antara bandar raya tersibuk di Asia Tenggara.  

Penulis sememangnya mengimpikan peluang menaiki jeepney, pengangkutan ikonik Filipina, setelah terlepas peluang itu ketika berkunjung datang ke sini pada 2024. Penulis kembali ke bandar raya ini pada Mei lalu bagi mengikuti bengkel “Earth Shorts Fellowship”, anjuran Earth Journalism Network, dan kali ini peluang yang ada tidak disia-siakan.

Di Filipina, jeepney dikenali sebagai “raja jalan raya”. Menurut laporan terbaharu yang disiarkan oleh rangkaian media terbesar Filipina, ABS-CBN, terdapat kira-kira 120,000 jeepney beroperasi di seluruh negara. Kenderaan berwarna-warni dengan bunyi hon yang kuat dan enjin diesel ini mengangkut jutaan rakyat Filipina dalam perjalanan harian mereka.

Jeepney pada asalnya ialah jip tentera Amerika Syarikat yang ditinggalkan di Filipina selepas Perang Dunia Kedua. Kenderaan ini kemudian diubah suai oleh pemilik tempatan termasuk menambah bumbung serta tempat duduk panjang bagi membolehkan jip tersebut digunakan sebagai pengangkutan awam. Dengan tambang antara 16 hingga 40 peso (96 sen hingga RM2.40) bagi setiap perjalanan, jeepney menjadi keperluan rakyat marhaen Filipina.


Di Filipina, jeepney dikenali sebagai 'raja jalan raya' (Gambar oleh SOON LI WEI)

 

SIMBOL BUDAYA FILIPINA

Bagi penulis, pengalaman pertama menaiki jeepney meninggalkan kesan mendalam. Tanpa jadual perjalanan tetap, ketibaan jeepney sukar dijangka.

Namun, penulis tidak perlu menunggu lama. Selepas kira-kira 10 minit berdiri di tepi jalan, sebuah jeepney muncul. Kenderaan itu berhenti ketika penumpang turun melalui bahagian belakang, manakala gelombang penumpang baharu segera menaiki dan memenuhi tempat duduk sempit yang memanjang di kedua-dua sisi kenderaan. Dalam beberapa minit sahaja, semua tempat duduk dipenuhi dan jeepney itu kembali bergerak mengharungi kesesakan lalu lintas.

Suhu membahang serta jumlah penumpang yang semakin bertambah di setiap hentian menjadikan perjalanan itu cukup memeritkan dan penulis bermandi peluh.

Pun begitu, di sebalik ketidakselesaan tersebut, ada sesuatu yang begitu menarik tentang berkongsi perjalanan dengan rakyat kebanyakan Filipina; pekerja yang mahu pulang ke rumah, golongan muda yang riuh  berbual dengan rakan-rakan serta keluarga dengan beg beli-belah, semuanya berhimpit dalam satu mod pengangkutan yang menjadi simbol budaya Filipina dan kehidupan seharian masyarakatnya.


Suasana di dalam jeepney yang penuh dengan penumpang (Gambar oleh SOON LI WEI)

Satu perkara menarik tentang jeepney di Manila ialah kebanyakan kenderaan ini tidak dibiarkan kosong tanpa hiasan. Sebahagian besar kenderaan dicat dengan warna-warna terang, dipaparkan maklumat laluan serta dihiasi imej keagamaan, rujukan budaya popular dan hasil seni peribadi.

Daripada pemandangan desa dan pantai yang indah hingga panorama gunung, imej bintang bola keranjang yang dilukis menggunakan teknik semburan angin serta watak kartun; setiap jeepney seolah-olah mempunyai kisah tersendiri.

Seperti yang dinyatakan oleh rakan penulis yang juga wartawan The Phillipine Star, Marc Jayson Cayabyab, “Seni hiasan jeepney menjadi sumber kebanggaan peribadi pemiliknya. Walaupun berdepan kekangan kewangan, rata-rata pemandu jeepney sanggup berbelanja besar dalam menghasilkan plat nama yang dihias secara kreatif.”

“Bagi mereka yang tidak mempunyai wang dan kuasa, ini sesuatu yang amat penting untuk mereka. Menerusinya mereka dapat menonjolkan identiti dan menzahirkan kebersamaan,” kata Cayabyab kepada Bernama.

Satu lagi perkara menarik ialah bagaimana penumpang menelusuri rangkaian pengangkutan bandar yang luas itu tanpa bantuan teknologi.

Tidak seperti bas atau tren yang laluannya boleh dijejaki dengan mudah melalui aplikasi navigasi seperti Google Maps atau Moovit, operasi jeepney kebanyakannya berada di luar capaian platform pemetaan digital. Sebaliknya, penumpang bergantung pada sesuatu yang lebih tradisional, iaitu pengalaman dan kebiasaan.

Ketika ditanya bagaimana orang ramai mengetahui laluan yang perlu diambil, Cayabyab berkata penduduk tempatan lazimnya mengetahui destinasi jeepney berdasarkan maklumat laluan yang dipaparkan pada kenderaan itu.

Malah, sekalipun tanpa paparan laluan atau tulisan tidak jelas,  penumpang jarang menghadapi masalah.

“Ada kalanya kami bertanya kepada pemandu mengenai laluannya jika tidak dipaparkan, tetapi kebanyakan masa kami sudah tahu kerana telah menggunakan jeepney selama bertahun-tahun,” katanya.


Di Filipina, ketibaan jeepney sukar dijangka kerana mereka tidak mempunyai jadual perjalanan tetap (Gambar oleh SOON LI WEI)

PENAMATAN SECARA BERPERINGKAT 

Ramai rakyat Filipina bergantung pada jeepney sebagai mod pengangkutan utama mereka kerana tambang yang murah dan mudah diakses, namun sistem ini berdepan ketidakpastian berikutan pelaksanaan  program pemodenan pengangkutan awam kerajaan yang bertujuan menggantikan jeepney lama dengan kenderaan elektrik.

Menurut Pengarah Eksekutif Center for Energy Ecology and Development Filipina Gerry Arances, kerajaan telah memperkenalkan Program Pemodenan Kenderaan Utiliti Awam, iaitu inisiatif untuk “membersihkan” jalan raya daripada kenderaan yang bising, mencemarkan alam sekitar dan ketinggalan zaman, yang pada asalnya “direka untuk peperangan, bukannya pengangkutan awam”.

“Pada awalnya, kerajaan menyasarkan untuk menggantikan jeepney penumpang dan van usang serta tidak selamat dengan kenderaan moden yang dilengkapi ciri keselamatan dan mematuhi piawaian pelepasan karbon. Pemilik kenderaan juga perlu menyertai koperasi atau syarikat pengangkutan bagi memastikan pengurusan yang lebih baik,” katanya kepada Bernama menerusi temu bual Zoom.

“Namun, usaha itu mendapat bantahan daripada pengendali jeepney yang secara langsung memperlahankan proses pemodenan tersebut... kata mereka perubahan itu hanya akan menguntungkan syarikat-syarikat besar dan menyebabkan perniagaan kecil lenyap.”


Sistem jeepney in Filipina kini masih berdepan ketidakpastian (Gambar Ihsan ixonix)

Arances berkata pihak yang menentang program itu mendakwa kebanyakan pemandu berpendapatan rendah tidak mampu membeli jeepney baharu walaupun kerajaan menjanjikan bantuan kewangan. Selain itu, mereka juga bimbang kehilangan sesuatu yang begitu sebati dengan budaya tempatan.

Bagaimanapun katanya, krisis tenaga global ketika ini mendorong kerajaan mempercepatkan usaha menggantikan penggunaan jeepney berenjin diesel kepada kenderaan elektrik berikutan harga bahan api itu yang tinggi.

Pada 4 Jun, ABS-CBN memetik kenyataan Lembaga Francais dan Kawal Selia Pengangkutan Darat (LTFRB) bahawa kira-kira 6,000 jeepney di seluruh negara dijangka beralih kepada kenderaan elektrik tahun ini.

Arances berkata sebarang tindak balas terhadap krisis tenaga perlu mengutamakan keadilan dan kesaksamaan, khususnya bagi komuniti rentan yang paling terkesan akibat kenaikan kos tenaga.

Menurut beliau, usaha segera perlu memberi tumpuan kepada mengurangkan kesan kejutan kenaikan harga tenaga terhadap golongan terjejas, terutama pekerja sektor pengangkutan yang bergantung pada bahan api untuk sumber pendapatan harian mereka.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan peralihan kepada kenderaan elektrik, khususnya bagi pengangkutan awam berskala besar, menawarkan penyelesaian jangka panjang yang lebih menjimatkan berbanding kenderaan konvensional berkuasa diesel.

Nasib yang menimpa jeepney di Filipina ini membawa ingatan penulis kepada bas mini berwarna merah jambu yang begitu sinonim dengan bandar raya Kuala Lumpur. Pada 1998, kerajaan menamatkan perkhidmatan bas yang terkenal dengan jeritan konduktor “Belakang, belakang, belakang lagi!” kepada penumpang itu dan digantikan dengan sistem bas yang lebih moden.

Kini, landskap pengangkutan awam Malaysia terus berkembang, termasuk penggunaan kenderaan elektrik demi masa depan yang lebih cekap, selamat dan lestari.

Barangkali rakyat Filipina juga bakal mengalami evolusi sama dalam sistem pengangkutan mereka tidak lama lagi. Pun begitu, sementara menunggu, jeepney kekal menjadi mod pengangkutan awam paling murah dan mudah diakses bagi jutaan rakyat negara itu.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan