DUNIA

Ekspo China - Asia Selatan Dibuka Di Kunming, Tarik Lebih 2,300 Syarikat Termasuk Malaysia

11/06/2026 11:49 PM

Daripada Siti Zanariah Nor Zin

KUNMING, 11 Jun (Bernama) -- Ekspo China-Asia Selatan Ke-10 dibuka secara rasmi hari ini di Kunming, wilayah Yunnan di barat daya China, menghimpunkan ribuan syarikat, wakil kerajaan dan organisasi antarabangsa dari seluruh Asia serta negara lain.

Berlangsung dari 11 hingga 16 Jun, ekspo selama enam hari itu menyaksikan penyertaan lebih 2,300 syarikat dari 68 negara dan wilayah, dengan peserta luar negara merangkumi 42 peratus daripada keseluruhan penyertaan.

Dalam satu kenyataan, penganjur berkata acara itu bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi serta hubungan perdagangan dan pelaburan antara China, Asia Selatan dan Asia Tenggara.

“Kepentingan kerjasama seperti ini dapat dilihat melalui hubungan perdagangan yang semakin berkembang antara China dan negara Asia Selatan. Dari 2007 hingga 2025, jumlah dagangan antara kedua-dua pihak meningkat lebih tiga kali ganda, dengan perdagangan dua hala melepasi paras US$200 bilion buat kali pertama tahun lepas.

“Dalam tempoh empat bulan pertama 2026, perdagangan berkembang sebanyak 15.8 peratus tahun ke tahun, didorong pertumbuhan kukuh import China dari Asia Selatan,” menurut penganjur.

Malaysia antara negara yang menyertai Pavilion Asia Tenggara, yang menghimpunkan 228 syarikat dari lapan negara ASEAN termasuk Thailand, Vietnam dan Laos.

Ekspo itu turut menampilkan pavilion khusus yang memberi tumpuan kepada tenaga hijau, pembuatan, penjagaan kesihatan dan kesejahteraan, budaya dan pelancongan, pertanian moden serta industri kopi, selain siri sesi padanan perniagaan bagi menggalakkan kerjasama serantau.

Menurut penganjur, lebih 1,500 pembeli profesional mendaftar bagi acara itu dengan pembeli luar negara mewakili lebih 60 peratus daripada keseluruhan pendaftaran.

Tinjauan di pavilion Malaysia mendapati 17 syarikat mempamerkan produk menerusi 28 reruai, merangkumi pelbagai produk termasuk makanan dan minuman, produk sarang burung, mutiara, suplemen kesihatan, durian serta produk penjagaan kulit.

Wakil delegasi Malaysia Fang Shua Hua berkata peserta pameran Malaysia menggunakan platform itu untuk mempromosikan pelbagai produk kepada pengguna China dan pembeli antarabangsa.

“Saya berharap pengunjung di Kunming mengambil peluang melawat Dewan 6 dan meneroka produk yang dipamerkan peserta pameran Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, pengasas Nanyang Pearls Irene Lou berkata China kekal sebagai pasaran utama syarikat itu, didorong penghargaan tinggi pengguna terhadap mutiara dan minat yang semakin meningkat terhadap mutiara Laut Selatan dari Malaysia.

“China ialah pasaran utama kami. Mereka mempunyai budaya mutiara yang panjang dan amat menyukai mutiara Laut Selatan, khususnya mutiara Laut Selatan berwarna emas dari Malaysia,” katanya kepada Bernama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan