SUKAN

Malaysia Buka Kempen Piala Negara-negara FIH Dengan Kemenangan Bergaya

11/06/2026 09:53 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Skuad hoki lelaki kebangsaan memulakan kempen Piala Negara-Negara Lelaki FIH 2025-2026 dengan langkah kanan selepas menewaskan Scotland 5-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Cape Town, Afrika Selatan hari ini.

Malaysia membuka jaringan seawal minit kelima menerusi gol padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook sebelum Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menggandakan kedudukan menerusi pukulan penalti strok pada minit ke-34.

Scotland bagaimanapun merapatkan jurang lima minit kemudian selepas Jamie Golden berjaya menyempurnakan penalti strok.

Pasukan negara kendalian Brendon Carolan kembali memperkukuh kedudukan apabila Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi meledak jaringan padang pada minit ke-42 sebelum Muhammad Azrai sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring menerusi pukulan sudut penalti tujuh minit kemudian.

Scotland cuba bangkit apabila Andrew McConnell menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-57, namun Muhammad Azrai melengkapkan malam cemerlangnya dengan hatrik menerusi jaringan padang seminit sebelum perlawanan berakhir untuk mengesahkan kemenangan skuad The Speedy Tigers.

Malaysia akan bertemu Jepun pada aksi kedua kumpulan yang dijadual berlangsung esok.

Selain Scotland dan Jepun, Malaysia turut diundi bersama New Zealand dan Korea Selatan dalam Kumpulan A sementara Kumpulan B menampilkan Perancis, Ireland, Amerika Syarikat dan pasukan tuan rumah.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan