AM

Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Galas Amanah Besar Di Pentas Antarabangsa

10/06/2026 08:00 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia menggalas amanah besar yang menuntut komitmen tinggi dalam memperkukuh hubungan dua hala serta menjaga imej negara di mata dunia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata beliau percaya pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh setiap ketua perwakilan itu akan membantu mereka melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang.

“Insya-Allah, saya percaya dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki akan membantu mereka melaksanakan tanggungjawab ini dengan cemerlang serta membuka lebih banyak ruang kerjasama yang memberi manfaat kepada negara.

“Selamat menjalankan tugas saya ucapkan kepada semua. Semoga sentiasa dipermudahkan urusan, dikurniakan kesihatan yang baik dan terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa,” katanya. 

Ahmad Zahid berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada 13 Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia ke luar negara yang baharu sebelum mereka memulakan tugas di negara masing-masing.

Kesemua mereka akan mewakili Malaysia di Jepun, Singapura, United Kingdom, Austria, New Zealand, Laos, Oman, Ireland, Finland, Timor-Leste, Chile, Lubnan dan Uzbekistan.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut menerima kunjungan hormat daripada semua ketua perwakilan di pejabatnya di Putrajaya menzahirkan keyakinan bahawa pengalaman, kepakaran dan komitmen yang dimiliki mereka akan membantu mengangkat imej Malaysia di persada antarabangsa. 

Menerusi hantaran di Facebook, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata ciri-ciri yang dimiliki setiap ketua perwakilan juga diyakini mampu memperkukuh hubungan persahabatan serta kerjasama Malaysia dengan negara diwakili.

“Pertemuan petang ini memberi ruang bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dengan negara-negara sahabat, memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk melibatkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta mempertingkat kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya. 

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan berharap semua ketua perwakilan diberikan kejayaan dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang digalas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan