EKONOMI

Malaysia, Jepun Berupaya Perkukuh Rantaian Bekalan Teknologi Serantau - PM Anwar

10/06/2026 04:03 PM

Daripada Mohd Iswandi Kasan Anuar

TOKYO, 10 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Jepun boleh memberikan sumbangan yang bermanfaat kepada pengukuhan rantaian bekalan serantau terutama dalam industri semikonduktor, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau berkata kelebihan Malaysia dalam pemasangan, pengujian dan pembungkusan termaju melengkapi bahan, peralatan dan pembuatan canggih yang diterajui Jepun, sekali gus mewujudkan peluang untuk membina ekosistem teknologi yang lebih berdaya tahan dan bersepadu.

“Di sinilah Malaysia dan Jepun boleh memberikan sumbangan yang bermakna,” kata beliau ketika menyampaikan ucaptama bertajuk “Navigating Strategic Uncertainty” pada Forum Nikkei ke-31 bertemakan “Working Together for a More Resilient and Prosperous Asia” di sini.

Beliau berkata dalam sektor tenaga, kerjasama itu dapat menyokong peralihan Asia ke arah masa depan rendah karbon di samping mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan keselamatan tenaga.

Inisiatif seperti Komuniti Sifar Pelepasan Asia membuktikan kelestarian dan pembangunan boleh bergerak seiringan, kata beliau.

Perdana Menteri berkata kerjasama dalam ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI) turut diperlukan  untuk memastikan inovasi kekal berteraskan manusia dan bersifat inklusif, seterusnya mewujudkan peluang baharu dan bukannya meningkatkan ketidaksamaan.

“Pertumbuhan, bukan tidak berkembang, pemerkasaan bersifat menyeluruh,” kata beliau.

Anwar turut mengimbas kembali transformasi perindustrian Malaysia di Pulau Pinang pada tahun 1970-an dengan berkata kalangan syarikat Jepun telah melakukan peranan penting dalam meletakkan asas pada kemunculan negeri itu sebagai antara hab elektronik dan semikonduktor terkemuka Asia.

Beliau berkata hubungan itu dibina bukan hanya berasaskan pelaburan malah juga keyakinan, perkongsian dan komitmen bersama terhadap pembangunan jangka masa panjang.

“Hari ini, semangat itu masih sangat relevan dan mesti terus dipacu berasaskan ungkapan proaktif bukannya kepasifan,” kata beliau.

Anwar juga berkata sistem antarabangsa yang menjadi asas kepada pertumbuhan dan pembangunan selama beberapa dekad kini menghadapi tekanan yang ketara.

Beliau berkata sistem perdagangan multilateral pada satu ketika menjadi tunjang integrasi ekonomi global kini menghadapi tekanan yang semakin hebat akibat pemecahan, tindakan unilateral dan persaingan strategik.

“Nampaknya tarif ‘Hari Pembebasan’ yang gagal (oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump) kini diberikan nafas baharu menerusi cadangan pengenaan baharu mengikut Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974,” kata beliau.

Anwar berkata trend sekatan eksport dan dasar perindustrian semakin meningkat dan dibentuk oleh persaingan geopolitik.

Oleh yang demikian, beliau mengingatkan bahawa kesalingbergantungan ekonomi semakin dijadikan  alat persaingan.

“Rantaian bekalan, teknologi, mineral kritikal, kewangan dan akses pasaran semakin dilihat melalui lensa persaingan, bukan lagi sebagai manfaat bersama,” kata beliau.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan