PUTRAJAYA, 9 Jun (Bernama) -- Keputusan PAS untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu merupakan suatu perkara yang telah dijangka, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata perkembangan itu, memberi ibrah atau pengajaran bahawa sebarang kolaborasi mesti tidak hanya bersandarkan kepada sudut pandang politik semata-mata, tetapi harus dilihat dari segi pembangunan dan kesatuan sebuah negara bangsa.
“Kami (UMNO) telah menjangkakan perkara ini akan berlaku. Kita bukan mendahului hukum Allah, tetapi ini merupakan satu telahan dari sudut pandang politik, yang sebarang kolaborasi mesti dilingkungi dengan penuh keikhlasan dan tidak ada unsur pengkhianatan di dalamnya.
“Ia (kolaborasi) mesti dibuat untuk jangka masa panjang agar matlamat negara dapat dicapai, penyatuan anak bangsa dapat dilakukan dan saya harap jika ada pun langkah yang akan dilakukan selepas ini, ia mesti bukan hanya tandatangan di atas kertas, baiah yang dilakukan, tetapi yang penting ialah keikhlasan yang harus diterjemahkan untuk jangka panjang dan berkekalan,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian kepada media selepas menghadiri Sambutan Hari Pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), di sini hari ini.
Semalam, PAS secara rasmi memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan malam tadi berkata ketetapan itu, dibuat dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pusat semalam selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan dengan Bersatu.
Mengulas mengenai pertemuan UMNO dan PAS pada 4 Jun, Ahmad Zahid menyifatkannya sebagai satu langkah positif yang perlu disusuli dengan beberapa langkah lain.
Beliau berkata pertemuan itu inisiatif kepimpinan kedua-dua parti untuk merungkai beberapa permasalahan dan tidak tertumpu kepada agenda politik.
“Jika ia ada terkait pun dengan politik, ia tentunya akan lebih diperhalusi kerana kita (UMNO) tetap berada di dalam Kerajaan Perpaduan yang terbentuk sekarang ini.
“Itu asas kita (UMNO) dan asas itu mesti dihormati,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial