AM

Kebajikan Mangsa Kebakaran Gok Kapor Jadi Keutamaan Kerajaan Negeri - MB

09/06/2026 10:14 AM

KOTA BHARU, 9 Jun (Bernama) -- Kebajikan mangsa kebakaran yang memusnahkan puluhan rumah di Kampung Gok Kapor, di sini, semalam, menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi memastikan mereka menerima perlindungan, bantuan dan sokongan sewajarnya.

Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata beliau yakin Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Dr Izani Husin bersama-sama agensi berkaitan, akan terus memantau keadaan serta menyelaras bantuan kepada mangsa.

“Keutamaan kini ialah memastikan setiap mangsa mendapat perlindungan, bantuan dan sokongan yang sewajarnya.

“Saya yakin beliau (Izani Husin) bersama-sama agensi berkaitan, akan terus memantau keadaan serta menyelaras bantuan agar kebajikan mangsa sentiasa terpelihara dan proses pemulihan dapat dipercepat,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Mohd Nassuruddin berkata beliau menerima khabar mengenai kejadian yang menimpa penduduk Kampung Gok Kapor dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang itu, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Beliau berkata kejadian yang memusnahkan kediaman penduduk dalam sekelip mata itu, amat menyedihkan dan turut dirasai seluruh rakyat Kelantan.

Pada masa sama, beliau bersyukur kerana tiada kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

Mohd Nassuruddin turut merakamkan penghargaan kepada anggota bomba dan penyelamat, pihak masjid, sukarelawan serta masyarakat yang tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Semalam, sebanyak 27 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Gok Kapor dan punca sebenar kebakaran sedang dalam siasatan pasukan forensik bomba.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan