AM

Bernama Raih Tiga Anugerah Media Agrobank 2026

09/06/2026 12:42 AM

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) membuktikan kecemerlangannya dalam pelaporan sektor agromakanan apabila merangkul tiga anugerah pada majlis Anugerah Media Agrobank 2026 di sini malam ini.

Wartawan Bernama Radio Wan Nadia Khairani Wan Chik dinobatkan sebagai juara bagi Anugerah Media Radio menerusi laporan bertajuk Dari Makmal Ke Meja Makan: Menyingkap Isu Halal, Potensi Dan Cabaran Inovasi Daging Kultur.

Agensi berita nasional itu turut cemerlang menerusi wartawan Meja Rencana Nurul Isnaini Mohd Muslim yang meraih tempat kedua Anugerah Media Cetak & Portal Berita (Rencana) melalui laporan bersiri Genetics to Ensure Food Security.

Muhammad Basir Roslan pula memenangi tempat kedua bagi kategori Anugerah Kewartawanan Teknologi & Digital Agrobank menerusi laporan Benteng Awal Keselamatan Makanan: Vaksin Tempatan Yang Mengubah Industri Ayam Negara.

Bagi setiap kategori, johan membawa pulang wang tunai RM5,000 manakala naib johan menerima RM3,000 berserta trofi dan sijil penghargaan.

Anugerah itu, yang bertujuan mengiktiraf peranan media dalam memperkasa sektor pertanian, disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin.

Turut menyampaikan anugerah ialah Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin pada majlis yang dianjurkan dengan kolaborasi Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Hadir sama Presiden MPI Datuk Yong Soo Heong, Ketua Pegawai Eksekutif MPI Dr Ainol Amriz Ismail dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Harlina Samson.

Sementara itu, Chan berkata media memainkan peranan besar dalam membentuk naratif serta kefahaman masyarakat terhadap isu pertanian, keterjaminan makanan dan pembangunan komuniti agromakanan.

“Melalui Anugerah Media Agrobank, kami mengiktiraf pengamal media yang bukan sahaja melaporkan berita tetapi turut menjelaskan isu, mengetengahkan suara komuniti dan mengangkat kepentingan sektor pertanian kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Tengku Ahmad Badli Shah pula berkata edisi kali ini turut memperkenal kategori baharu untuk pelajar bagi membuka ruang kepada bakat muda menyampaikan perspektif segar mengenai sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

Mengulas mengenai kejayaannya, Wan Nadia memaklumkan mendapat ilham daripada adiknya yang terlibat dalam penyelidikan daging kultur sekali gus mendorong beliau mengetengahkan isu itu ketika berkarya.

“Sebenarnya, banyak penyelidikan universiti yang bagus tetapi kurang diangkat oleh media,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Basir berkata cabaran utama dalam memenangi kategori teknologi dan inovasi ialah menterjemahkan istilah teknikal yang kompleks kepada penulisan yang mudah difahami pembaca. 

“Banyak istilah yang digunakan agak mencabar untuk difahami namun sebagai wartawan, perkara itu perlu dihadapi,” katanya.

Anugerah Media Agrobank 2026 menyaksikan sebanyak 138 penyertaan dengan hadiah keseluruhan bernilai RM60,000 ditawarkan merentasi pelbagai kategori termasuk media cetak, penyiaran dan video digital.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan