SUKAN

Ahmad Zahid Ucap Tahniah, Harap Sze Fei-Izzudin Lakar Lebih Banyak Kejayaan

08/06/2026 11:46 AM

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan tahniah kepada gandingan beregu lelaki negara Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Ramsani atas kejayaan merangkul gelaran juara pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia, semalam.

Beliau pada masa sama berharap pasangan beregu yang kini berada di ranking kelapan dunia itu akan terus melakar lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa.

“Selepas dua minggu muncul naib juara Malaysia Masters, Sze Fei dan Izzuddin bangkit menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia. Tahniah atas pencapaian membanggakan ini. 

“Kemenangan ini sekali gus menamatkan penantian 18 tahun Malaysia untuk kembali menjulang gelaran beregu lelaki Terbuka Indonesia yang bertaraf Super 1000,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Pada aksi final di Istoran Senayan, Jakarta semalam, Sze Fei dan Izzuddin bangkit daripada ketinggalan satu set sebelum menewaskan wakil tuan rumah Raymond Indra-Nikolaus Joaquin 13-21, 21-18, 21-10 dalam tempoh 49 minit.

Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia kembali menawan gelaran beregu lelaki kejohanan berprestij itu buat kali pertama sejak Zakry Abdul Latif-Fairuzizuan Tazari melakukannya pada edisi 2008.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan