KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Malaysia Holdings Bhd, Euan Smith meletak jawatan selepas menerajui syarikat itu selama enam tahun, berkuat kuasa 7 Jun, 2026.
Menurut Astro, Henry Tan yang sebelum ini pernah menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro dari Februari 2019 hingga Januari 2023 dilantik semula sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan interim berkuat kuasa 16 Jun, 2026.
"Tan akan mengemudi kepimpinan keseluruhan syarikat serta bertanggungjawab terhadap prestasi dan operasi syarikat dengan sokongan pasukan kepimpinan eksekutif Astro.
“Smith pula akan terus memberikan khidmat nasihat teknikal serta sokongan kepada lembaga pengarah sehingga 6 Dis, 2026,” menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Astro turut merakamkan penghargaan kepada Smith atas kepimpinan dan sumbangannya sepanjang enam tahun di syarikat itu serta mendoakan kejayaan beliau dalam perancangan masa hadapan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Astro berkata Smith memiliki 2.96 juta saham, mewakili 0.057 peratus daripada jumlah saham terbitan syarikat.
Selain itu, beliau mempunyai kepentingan dalam lebih 48.35 juta saham biasa yang belum diterbitkan menerusi anugerah saham prestasi di bawah pelan insentif jangka panjang syarikat.
Dalam makluman berasingan, Astro berkata dagangan sekuritinya digantung sementara bermula 9 pagi hari ini sebelum disambung semula pada 10 pagi.
Saham Astro ditutup enam sen pada Jumaat lepas dengan permodalan pasaran sebanyak RM313.55 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial