AM

HAWANA 2026: Dari Bilik Berita Ke Dunia Niaga, Pengamal Media Kini Bina 'Kerjaya Kedua'

07/06/2026 01:45 PM

Oleh Samantha Tan

PUTRAJAYA, 7 Jun (Bernama) -- Perubahan pesat landskap media, tekanan kos sara hidup dan perkembangan teknologi digital mendorong sebahagian pengamal media membina ‘kerjaya kedua’ menerusi bidang keusahawanan sebagai strategi menambah pendapatan tanpa meninggalkan profesion hakiki.

Bagi kebanyakan wartawan, hari cuti lazimnya dimanfaatkan untuk berehat selepas rutin mengejar masa, menghadiri sidang media dan menyiapkan laporan berita. Namun, bagi jurugambar Malay Mail, Muhammad Sayuti Zainudin, 36, masa lapangnya kini diisi dengan mengusahakan perniagaan katering kopi secara kecil-kecilan bersama isterinya, Siti Sofia Md Nasir, 39, yang juga wartawan Media Selangor.

Pasangan itu memilih secawan kopi sebagai sumber pendapatan tambahan, bukan sekadar memenuhi minat, malah sebagai strategi membantu menampung kos sara hidup yang semakin meningkat di Lembah Klang menerusi jenama Kopi Tanjong.

Berkongsi permulaan perniagaan itu, Muhammad Sayuti berkata minat mendalam terhadap kopi serta hobi meneroka kafe ketika bertugas di Pulau Pinang mendorong mereka bereksperimen dengan pelbagai jenis biji kopi sebelum isterinya mencadangkan agar jualan kecil-kecilan dimulakan di kawasan perumahan pada 2022.

“Syukur kerana mendapat sambutan daripada jiran tetangga. Sejak itu, kami terus mengembangkan perniagaan ini secara berperingkat,” katanya kepada Bernama sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran terbesar ialah membahagikan masa apabila hari cuti yang sebelum ini diperuntukkan untuk keluarga kini perlu diurus secara lebih sistematik bagi memastikan tanggungjawab terhadap pelanggan dan keluarga dapat diseimbangkan.

Muhammad Sayuti berkata pengalaman sebagai pengamal media banyak membantu dalam mengembangkan perniagaan, khususnya dari segi komunikasi, jaringan pelanggan serta promosi menerusi media sosial dan pemasaran dari mulut ke mulut.

“Setiap kali menyarung apron, kami meletakkan diri sebagai peniaga dan bukan pengamal media. Namun hakikatnya, kedua-dua bidang ini menuntut disiplin serta integriti yang tinggi,” katanya.

Beliau turut menegaskan pengamal media perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan industri tanpa mengorbankan prinsip kewartawanan.

Sementara itu, Editor The Rakyat Insight, Wan Anis Ilyani Wan Mohd Azhar, 38, berkata semakin ramai pengamal media kini menceburi perniagaan kecil-kecilan sebagai sumber pendapatan tambahan memandangkan pendapatan sedia ada mungkin tidak lagi mencukupi.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata beliau memulakan perniagaan dari rumah selepas diberhentikan kerja pada 2018 sebelum mengembangkan perniagaan menerusi penyertaan dalam pelbagai acara, membuka kiosk di Saujana Utama serta menawarkan perkhidmatan dessert table.

“Selepas diberhentikan kerja dan belum menerima tawaran pekerjaan baharu, saya mula berniaga secara dalam talian dari rumah sebelum menyertai pelbagai acara, membuka kiosk tahun lalu dan tahun ini menambah perkhidmatan dessert table.

“Apabila tiba musim perayaan, saya memberi tumpuan kepada penghasilan kuih raya dan hamper Aidilfitri,” katanya.

Menurut Wan Anis Ilyani, cabaran utama menguruskan dua kerjaya ialah kekangan masa memandangkan kebanyakan kerja membakar kuih dilakukan seawal pagi atau hingga lewat malam.

Bagaimanapun, katanya kemahiran komunikasi yang diperoleh sebagai wartawan banyak membantu ketika berurusan dengan pelanggan.

Beliau berkata platform media sosial seperti Instagram dan Threads menjadi medium utama promosi selain membantu memperluaskan jaringan pelanggan.

Dalam pada itu, kedua-dua pengamal media terbabit mengakui pengalaman sebagai usahawan kecil memberikan perspektif lebih dekat terhadap realiti ekonomi rakyat apabila peningkatan harga bahan mentah seperti biji kopi, ais, plastik dan bahan bakeri memberi kesan langsung kepada peniaga kecil.

Menurut mereka, keadaan itu turut dipengaruhi faktor luaran termasuk krisis bekalan global dan konflik di Asia Barat.

Sempena HAWANA 2026, mereka turut senada bahawa kebajikan pengamal media perlu diberi perhatian lebih serius, termasuk dari aspek perlindungan sosial dan sokongan kewangan.

Selain itu, wartawan muda disaran supaya berani menyesuaikan diri dengan perubahan semasa, meningkatkan kemahiran serta memanfaatkan teknologi sebagai alat sokongan dalam tugasan tanpa mengorbankan integriti dan etika kewartawanan, selain tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi kecerdasan buatan (AI).

HAWANA 2026 yang mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” bertujuan memperkasakan peranan pengamal media dalam pembangunan negara. Kemuncak sambutan tahunan itu dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pulau Pinang pada 20 Jun ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan