Oleh C.Vinoothene
KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Walaupun teh berperisa matcha, produk buatan China telah menjadi sangat popular di kafe dan kedai roti di seluruh India, usahawan Malaysia, Shivaani Suppiah menjangkakan bahan makanan hijau iaitu pandan akan menjadi terkenal di negara Asia Selatan itu.
Wanita berusia 32 tahun, dilahirkan di Teluk Intan, Perak itu menaruh harapan tinggi bahawa pandan dapat menembusi pasaran India yang luas, berdasarkan maklum balas positif daripada masyarakat di India yang telah merasai pelbagai jenis makanannya mengandungi bahan tersebut.
Dengan nama saintifikma pandanus aryllifolius, pandan merupakan makanan ruji tradisional yang biasa digunakan di Malaysia, Singapura, Vietnam dan Indonesia, mempunyai aroma istimewa dan dikenali sebagai “Vanilla of the East”.
Kesungguhannya untuk menembusi pasaran India bermula dari tapak operasinya yang terletak berdekatan Pondicherry di selatan India.
Pondicherry, sebuah kawasan bekas tanah jajahan Perancis di pantai tenggara India, terkenal dengan gabungan unik pengaruh Tamil dan Perancis serta sektor pelancongannya yang rancak, Shivaani berkata beliau memilih Pondicherry sebagai tapak syarikatnya kerana komuniti pengembara, usahawan, dan penduduk tempatan di situ yang aktif serta kecenderungan mereka untuk mencuba makanan dan perisa baharu.
Beliau mempunyai misi untuk memperkenalkan tumbuhan aromatik Asia Tenggara berkenaan menerusi jenamanya ‘It’s Pandan Only’ kepada pengguna tempatan melalui pelbagai masakan mereka, daripada thosai hingga appam dan juga kari India.
Shivaani menjelaskan bahawa jenama tersebut memberi tumpuan kepada eksperimen dalam menghasilkan hidangan menggunakan pandan, dengan harapan dapat membiasakan lagi perisa tersebut di India, memandangkan daun pandan di sana sebahagian besarnya hanya dikenali untuk kegunaan dalam masakan biryani dan amalan perubatan tradisional.
“Matlamat jangka panjang saya adalah untuk menjadikan pandan lebih mudah diakses dan rasa yang dikenali di India, sama seperti matcha menjadi jenama sangat popular. Bagaimanapun, teh dari China itu mengambil masa kira-kira tujuh hingga 19 tahun untuk menjadikannya sebagai item makanan dan minuman yang popular di India,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.
Walau bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa matcha mempunyai kekurangan.
"Anda hanya boleh menggunakannya sebagai pencuci mulut (dessert)," manakala pandan, penggunaannya adalah pelbagai dan boleh digunakan dalam pelbagai jenis makanan.
“Melalui jenama saya, 'It's Pandan Only,' saya berhasrat untuk meluaskan kepelbagaian guna pandan melampaui hidangan tradisional Malaysia. Saya masih dalam proses memperkenalkan makanan Malaysia ke India dan sedang bereksperimen dengan pandan di India, seperti dalam makanan India.”
Antara hidangan yang beliau mula uji dengan menggunakan pandan ialah idli, thosai, chapati, poori, puttu, appam, kesari, serta hidangan Malaysia seperti nasi lemak dan agar-agar, beliau akan mengedarkan sampel ke restoran dan kafe di sekitar Pondicherry.
Salah satu produk utama di bawah jenama itu ialah sapuan kaya sayuran bernama Pandan Coconut Spread yang telah terjual kira-kira 20 kilogram di seluruh India sejak lima bulan lepas.
Kaya ialah sapuan berkrim diperbuat daripada santan, telur, gula dan daun pandan aromatik.
"Pada masa ini, kaya dibawa masuk dari Malaysia dari sebuah kedai roti bernama Vicked Good, tetapi rancangannya adalah untuk memulakan pengeluaran tempatan berhampiran Pondicherry pada akhir tahun ini. Produk ini berharga 290 rupee India (RM14.60) untuk 100g dan 520 rupee India (RM26.20) untuk 200g," katanya.
Idea untuk menembusi pasaran India tercetus apabila Shivaani berpindah ke selatan India pada Disember 2023, di sana, beliau mengidam makanan Malaysia, mendorongnya untuk menanam pandan untuk masakannya sendiri.
Didorong oleh cadangan sepupunya Ravi, beliau mula membuat pandan secara komersial, secara beransur-ansur beralih daripada memasak untuk acara dan potluck kepada membina perniagaan sederhana berdasarkan bahan tersebut.
Hari ini, beliau menanam kira-kira 50 pokok pandan termasuk kira-kira 20 pokok matang yang sedia untuk dituai.
Pada bulan Jun, tahun lepas, Shivaani memutuskan untuk komited sepenuhnya untuk mengembangkan jenama itu, berdasarkan pengalamannya selama sedekad dalam pemasaran digital, termasuk bekerjasama dengan jenama makanan dan kesejahteraan di Malaysia.
Sambutan menggalakkan untuk pandan kaya
Mengulas lanjut mengenai keputusannya untuk memilih Pondicherry, beliau berkata: “Ramai pelanggan berbeza datang ke sini, bukan sahaja orang India, tetapi warga asing dari bahagian lain di dunia. Ia lokasi yang baik untuk saya melakukan pengeluaran saya, untuk mencuba kafe-kafe.
“Saya telah memberikan sampel kepada orang Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat. Saya akan berkata, hey adakah anda ingin mencuba kaya ini?
“Dan semua orang telah memberikan saya maklum balas yang sangat baik, termasuk pelancong dari beberapa bahagian di selatan dan utara India”.
Jelasnya, usaha niaga itu dilancarkan dengan pelaburan awal yang sederhana sebanyak kira-kira RM4,600, yang sebahagian besarnya dibelanjakan untuk mendapatkan produk berasaskan pandan dari Malaysia, penjenamaan dan peralatan asas.
Shivaani berkata perniagaan itu kekal dibiayai sendiri sepenuhnya menerusi simpanan peribadinya, pendapatan pemasaran digital bebas dan jualan produk.
Katanya, kos sara hidup yang semakin meningkat tidak menghalang Shivaani, kerana jenama itu beroperasi berdasarkan model kewangan yang teguh, yang mengutamakan pembelian inventori yang kecil dan terkawal.
Jenama itu, tambahnya, sedang berkembang ‘secara perlahan, organik dan sangat disengajakan’ untuk mengekalkan kemampanan kewangan di tengah-tengah kos yang turun naik.
Oleh itu, Shivaani berharap dapat memperluaskan jenama itu ke bahagian lain di India dalam masa terdekat.
“Pondicherry akan menjadi pangkalan saya untuk beberapa tahun akan datang. Tetapi saya tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada bidang ini untuk berkembang.
“Saya perlu keluar, saya mahu cuba pergi ke Chennai, Bangalore, Delhi, Mumbai," katanya.
Selain itu, Shivaani turut menggunakan media sosial, terutamanya Instagram, menerusi halamannya, ‘Its Pandan Only’, untuk berkongsi pengalaman memasak dan idea mengenai pelbagai cara pandan boleh digunakan, bukan sahaja di India di seluruh dunia.
Bagi Shivaani, pandan berpotensi menjadi bahan yang digunakan secara meluas kerana fleksibiliti, kemampuan dan penanamannya yang mudah.
“Saya turut ingin meletakkan pandan sebagai alternatif makanan semula jadi dan mampan.
“Saya ingin melihat pengeluar yang lebih besar menggunakan pandan dalam produk mereka seperti aiskrim, roti, kek dan pencuci mulut, seperti yang digunakan di Malaysia,” tambahnya.
Menurut Shivaani, usahanya mungkin dilakukan di India, tetapi Malaysia tetap dekat di hatinya.
“Saya bangga menjadi rakyat Malaysia, dan Malaysia sentiasa menjadi rumah pertama.
“Datang ke sini merupakan keputusan peribadi untuk meneroka sesuatu yang baharu dan mengenali usul saya.
“Saya juga percaya budaya Malaysia, terutamanya makanan kita yang menakjubkan, sepatut lebih dikongsi lebih banyak lagi.
“Melalui pandan, saya berharap dapat membina jambatan kecil yang menghubungkan antara negara,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial