AM

"Dua Minggu Tidak Makan, Minum Air Periuk Kera" - Jaslinda

06/06/2026 11:44 PM

IPOH, 6 Jun (Bernama) -- Wanita yang ditemukan selamat selepas 14 hari hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih dekat Tapah, Jaslinda Saludin, 49, menceritakan pengalaman ikhtiar hidup di dalam hutan selama dua minggu dengan hanya meminum air tanpa makanan.

Dalam satu video dikongsi pengguna media sosial yang berpeluang berbual dengan wanita itu, Jaslinda memaklumkan beliau minum air dari sumber hutan termasuk air dari dalam periuk kera.

“Saya tiada makanan, saya dua minggu tak makan. Saya minum air... air hitam, air coklat, air periuk kera. Jadi rasa menikmati hiduplah,” katanya dalam video berdurasi 32 saat itu.

Terdahulu Jaslinda ditemukan oleh penduduk Orang Asli Nazri a/l Bah Eng berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, Tapah, kira-kira 5 petang tadi.

Beliau kemudian dibawa ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan.

Dalam satu lagi video Jaslinda menceritakan beliau terjatuh berkali-kali dan bergelut untuk hidup ketika malam hari sepanjang di dalam hutan.

Jaslinda dilaporkan hilang ketika melakukan pendakian di Gunung Batu Putih, Tapah pada 24 Mei.

Sementara itu, Jaslinda yang berkesempatan bercakap dengan pemberita ketika ditemui di Kampung Lubuk Baharu mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan keselamatannya.

Jaslinda turut memohon maaf atas kehilangannya yang berlarutan sehingga mencetuskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) berskala besar.

“Terima kasih, minta maaf semua menyusahkan,” katanya.

Ahli keluarga yang terdiri daripada suami, Haszman Othman, 61, dan kakak Jaslinda, Jasima, 52, turut merakam penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi SAR.

“Doa semua rakan dan disebabkan itu kita jumpa dia hari ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada Pegawai Daerah Tapah yang banyak membantu dari sudut kebajikan sepanjang kami di sini,” kata Jasima.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan