SUKAN

Shereen Raih Emas, Umar Perbaharui Rekod Kebangsaan 400m

06/06/2026 09:04 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Pelari wanita negara Shereen Samson Vallabouy meneruskan prestasi cemerlang apabila meraih pingat emas acara 400 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Terbuka New Taipei City 2026 di Taiwan, hari ini.

Pada aksi final, Shereen mencatat masa 52.73 saat (s) untuk muncul juara, mengatasi Jithma Wijhetunga dari Sri Lanka yang meraih perak menerusi catatan 53.16s, manakala gangsa menjadi milik wakil Australia, Sophia Gregorevic (53.86s).

Terdahulu, atlet berusia 26 tahun itu memperbaharui catatan terbaik musim (SB) miliknya apabila merekodkan masa 53.85s pada saingan separuh akhir.

Sementara itu, dalam acara 400m lelaki, hasrat Umar Osman untuk menambah koleksi pingat emas negara tidak kesampaian apabila sekadar berpuas hati dengan pingat perak.

Pada perlumbaan final, Umar mencatat masa 46.42s untuk menamatkan saingan di tempat kedua, hanya 0.20s di belakang juara dari Australia, Brenton Kerr.

Pingat gangsa pula dimenangi Methawi Kanhaaudom dari Thailand yang merekodkan masa 46.43s.

Bagaimanapun, Umar tetap mencuri tumpuan apabila berjaya memperbaharui rekod kebangsaan miliknya pada peringkat saringan dengan catatan 45.73s, sekali gus memperbaharui rekod terdahulu 46.09s yang dilakukan pada Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China, pada 2023.

“Rekod kebangsaan 45.73s ini saya tunggu selama tiga tahun. Segala jatuh bangun, penat lelah ketika latihan dan semangat untuk terus bangkit akhirnya membuahkan hasil,” katanya menerusi video yang dikongsikan Olahraga Malaysia di Facebook, hari ini.

Kontinjen negara turut menambah koleksi pingat menerusi Armin Zahryl yang meraih gangsa dalam acara 110m lari berpagar lelaki selepas mencatat masa 13.87s.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan