KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Langkah meningkatkan mandat biodiesel daripada 10 peratus kepada 15 peratus akan mengurangkan kebergantungan negara terhadap pasaran eksport, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata ini juga akan mendorong pemain industri untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran biodiesel, sekali gus membantu mengekalkan kestabilan harga sawit pada masa depan berikutan pertambahan permintaan domestik.
“Pasaran eksport adalah baik tetapi kadangkala mereka mengenakan pelbagai syarat seperti kuota dan cukai. Sebaliknya, jika negara kita sendiri menggunakannya, ia akan memberi manfaat kepada industri perladangan dan melindungi pendapatan para peneroka,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persafahaman (MoU) antara Felda dan Encorp Bhd bagi projek perumahan kakitangan Felda, di sini.
Katanya Malaysia kini mempunyai 20 loji biodiesel dengan kapasiti mencukupi untuk menyokong penggunaan biodiesel sehingga 30 peratus.
Bagaimanapun, katanya kebanyakannya masih beroperasi di bawah kapasiti berikutan permintaan semasa itu yang terhad kepada campuran B10 di stesen minyak dan B7 bagi sektor industri tertentu.
Ahmad Shabery berkata pelaksanaan mandat baharu B15 yang berkuat kuasa pada 1 Jun lepas dijangka meningkatkan penggunaan biodiesel negara, sekali gus membolehkan loji pengeluaran meningkatkan kadar penggunaan kapasiti masing-masing.
“Malaysia sebenarnya boleh meningkatkan lagi penggunaan biodiesel pada masa depan memandangkan negara mempunyai keupayaan untuk menghasilkannya.
“Penggunaan minyak sawit untuk biodiesel berpotensi ditingkatkan kepada kira-kira lima hingga enam juta tan setahun tanpa menjejaskan keperluan domestik, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara pada pasaran eksport,” katanya.
Katanya Malaysia mengeluarkan kira-kira 20 juta tan minyak sawit setahun, dengan tiga juta tan digunakan bagi keperluan makanan seperti minyak masak, marjerin dan produk berkaitan manakala satu juta tan lagi digunakan untuk biodiesel dan lebihannya untuk pasaran eksport.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial