KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda mencerminkan manifestasi kesetiaan tidak berbelah bahagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada raja dan negara.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata istiadat penuh tradisi ketenteraan itu turut memainkan peranan besar dalam menyemai semangat patriotisme, selain menghargai sejarah serta pengorbanan perjuangan benteng pertahanan negara.
“Tahniah kepada 148 pegawai dan 1,192 anggota daripada ketiga-tiga cabang ATM yang menjayakan penganjuran istiadat.
“Semoga seluruh warga ATM sentiasa diberi kekuatan, kesihatan dan perlindungan dalam melaksanakan amanah menjaga keamanan serta kedaulatan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat ke istiadat gilang-gemilang itu di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya hari ini. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Fahmi turut menghadiri istiadat berkenaan.
Istiadat tersebut diadakan sebanyak tiga kali dalam tempoh lima tahun pemerintahan bagi setiap Raja Melayu yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, iaitu bagi tahun pertama, tahun ketiga dan tahun terakhir pemerintahan.
Istiadat itu juga adalah untuk menzahirkan sumpah dan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja dan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial