AM

TNB Raih Penarafan Tertinggi Bagi Pematuhan ESG, Pacu Peralihan Tenaga Negara

04/06/2026 09:13 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Pematuhan ketat Tenaga Nasional Bhd (TNB) terhadap piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) telah mendorong syarikat utiliti tenaga negara itu bukan sahaja memenuhi tadbir urus kemampanan tetapi mencapai kecekapan perniagaan serta memajukan peralihan tenaga Malaysia.

Ketua Pegawai Kelestarian TNB Leo Pui Yong berkata data ESG perlu diberi perhatian serius sebagaimana pelaporan kewangan bagi memastikan kejayaan peralihan tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon.

Walaupun berdepan cabaran dalam memenuhi keperluan global yang sentiasa berkembang, Leo berkata syarikat itu telah mencatat kemajuan ketara dalam mencapai piawaian ESG apabila baru-baru ini memperoleh peningkatan penarafan ESG MSCI (Morgan Stanley Capital International) kepada penarafan kukuh “AA”.

Beliau berkata pencapaian itu memerlukan perubahan pemikiran korporat untuk melihat ESG sebagai pemacu nilai perniagaan dan bukannya sekadar perkara berkaitan pematuhan.

Leo berkata demikian semasa perbincangan panel bertajuk ESG in the Energy Transition: Value Driver or Compliance Burden pada Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di sini hari ini, yang dikendalikan oleh Ketua Kelestarian dan Jaminan Baharu Deloitte Asia Tenggara K Ganesan Kolandevelu.

Penarafan “AA” mencerminkan syarikat yang menunjukkan pengurusan kukuh terhadap risiko dan peluang ESG yang mempunyai kepentingan material dari segi kewangan.

Bagi mencapai tahap itu, Leo berkata syarikat telah mengambil langkah mendigitalkan pengumpulan hampir 400 indikator ESG merangkumi 90,000 asetnya di Semenanjung, sekali gus membolehkan data yang dikumpulkan digunakan secara aktif untuk meningkatkan kecekapan operasi di lapangan.

“Dalam TNB, kami tidak melihat keperluan IFRS (Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa) sebagai sekadar keperluan pelaporan.

“Kami melihatnya sebagai pemangkin untuk meningkatkan kecekapan, selain memberi impak jangka panjang dari segi kemampanan,” katanya.

Naib Presiden Eksekutif Peralihan Tenaga dan Kelestarian PT Perusahaan Listrik Negara (PLN) Indonesia Dr Kamia Handayani turut bersetuju dengan pandangan itu dan berkata syarikat utiliti berdepan risiko fizikal sebenar akibat perubahan iklim yang memberi kesan langsung kepada infrastruktur.

Kamia berkata mengatasi cabaran itu memerlukan ESG diintegrasikan ke dalam operasi teras sesebuah syarikat.

“Kemampanan tidak boleh dianggap sebagai inisiatif yang berasingan. Ia perlu diserapkan dalam agenda perniagaan,” katanya.

Walaupun pemimpin utiliti serantau telah mencapai kemajuan, cabaran masih wujud dalam mengumpulkan data yang konsisten dan tepat, khususnya merentasi rantaian bekalan yang melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Penasihat Carbon GPT Seng Kee Wong berkata data kemampanan perlu mempunyai tahap ketelitian yang sama seperti data kewangan, sambil menyatakan bahawa pihak pengawal selia kini menuntut pendedahan ESG diaudit.

“Jika sesebuah syarikat memberikan gambaran yang mengelirukan mengenai data kewangannya, ketua pegawai eksekutif atau ahli lembaga pengarah boleh berdepan tindakan undang-undang sehingga dipenjarakan. Jika tahap ketelitian yang sama dikenakan terhadap data ESG, dunia korporat akan menjadi sangat berbeza,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan