EKONOMI

Malaysia Airports Peruntuk Capex RM11 Bilion Bagi Peluasan Infrastruktur Selama Lima Tahun

04/06/2026 08:54 PM

PUTRAJAYA, 4 Jun (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan memperuntukkan kira-kira RM11 bilion dalam perbelanjaan modal (capex) selama lima tahun akan datang bagi menyokong pengembangan dan pemodenan infrastruktur lapangan terbang di setiap rangkaiannya seluruh negara.

Pengarah Urusannya Datuk Mohd Izani Ghani berkata pelaburan itu mencerminkan komitmen jangka panjang pengendali lapangan terbang berkenaan untuk memperkukuh kapasiti lapangan terbang, daya tahan operasi, pemodenan infrastruktur dan pertumbuhan penumpang.

MAHB mengumumkan peruntukan tersebut sewaktu Pameran Perolehan dan Projek sulungnya, satu platform libat urus industri berkala baharu yang bertujuan memperkukuh kesediaan ekosistem menjelang senarai projek pembangunan lapangan terbang yang semakin bertambah di seluruh negara.

"Memandangkan projek infrastruktur lapangan terbang semakin besar dan rumit, ekosistem industri mesti berkembang bersama-sama dengannya.

“Menerusi platform ini, kami mahu memberikan gambaran yang lebih jelas tentang hala tuju dan peluang yang ada supaya pihak kontraktor, pembekal serta rakan kerjasama dapat membuat persiapan lebih awal selain meningkatkan keupayaan mereka dengan lebih yakin," kata Mohd Izani dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata MAHB juga akan mendapat manfaat daripada ekosistem yang lebih bersedia dan berkemampuan yang mampu menyokong penyampaian projek dengan lebih pantas, selamat dan berkualiti lebih tinggi.

Pameran tersebut menghimpunkan para kontraktor, perunding, pembekal, pakar dan rakan kerjasama industri daripada seluruh rantaian penyampaian infrastruktur bagi menggalakkan kerjasama yang lebih awal, kesediaan pasaran yang lebih kukuh serta perancangan jangka panjang yang lebih baik untuk projek-projek lapangan terbang akan datang.

MAHB menyatakan platform berkenaan turut mencerminkan usaha yang lebih menyeluruh untuk membina ekosistem yang lebih tangkas, bersedia mendepani masa depan dan diselaraskan dengan baik bagi menyokong peningkatan kapasiti lapangan terbang.

Selain itu, ia juga menyokong peningkatan daya tahan operasi, pemodenan infrastruktur serta pertumbuhan penumpang di seluruh negara.

Sesi sulung berkenaan menampilkan projek dan inisiatif merangkumi lima bidang tumpuan strategik utama iaitu peluasan kapasiti dan pertumbuhan masa depan serta pembaharuan aset dan daya tahan operasi selain pengalaman penumpang.

Selain itu tumpuan strategik utama yang lain seperti pengoptimuman perkhidmatan, lapangan terbang pintar dan pemerkasaan teknologi serta kelestarian dan infrastruktur yang bersedia untuk masa depan.

Antara projek utama yang diketengahkan di bawah peluasan kapasiti termasuk Pelan Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang bertujuan menyokong pertumbuhan kapasiti penumpang masa depan melebihi 100 juta orang setahun.

Turut diketengahkan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang daripada 6.5 juta kepada 12 juta penumpang setahun serta cadangan kerja-kerja peningkatan taraf di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu bagi meningkatkan kapasiti daripada sembilan juta kepada 12 juta penumpang setahun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pembangunannya Steven Andersen berkata kesediaan penyampaian dan keupayaan pelaksanaan merentasi ekosistem infrastruktur akan menjadi semakin penting memandangkan projek-projek lapangan terbang terus meningkat dari segi skala dan kerumitannya.

"Platform seperti ini membolehkan kami berinteraksi dengan pasaran lebih awal, menggalakkan kerjasama yang lebih bermakna serta mewujudkan saluran bakat dan kepakaran khusus yang lebih kukuh bagi menyokong skala dan kerumitan pembangunan lapangan terbang masa depan di seluruh rangkaian," tambah beliau.

MAHB turut menghargai sokongan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dalam memudah cara inisiatif libat urus industri yang bertujuan memperkukuh penyertaan dan daya saing kontraktor tempatan dalam sektor infrastruktur.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan