AM

Kemalangan Maut Simpang Renggam: Jenazah Empat Sekeluarga Selamat Dikebumikan

02/06/2026 12:56 PM

DUNGUN, 2 Jun (Bernama) -- Jenazah empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang maut dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di Simpang Renggam, Johor semalam, selamat dikebumikan pagi ini.

Mohd Aiman Mohd Rashid, 36; isterinya Nor Azlina Abd Latif, 33; dan ibu Nor Azlina, Semek Mat Soh, 73; serta anak saudara Mohd Aiman, Nur Airish Syifa Sidek,10, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Bandar Al-Muktafi Billah Shah di sini pada 9.25 pagi.

Terdahulu, jenazah empat sekeluarga itu dibawa ke Masjid Sultan Mahmud Bandar Al-Muktafi Billah Shah di sini untuk disolatkan pada 8.35 pagi ini, selepas proses bedah siasat di Hospital Enche' Besar Hajah Khalsom di Kluang, Johor selesai malam tadi. 

Lebih 200 orang terdiri daripada sanak saudara dan kenalan hadir pada pengebumian itu yang selesai pada 10.45 pagi.

Dalam kejadian pada 1.16 petang semalam, Mohd Aiman yang tinggal dan bekerja di ladang kelapa sawit di Felda Ulu Sedili, Johor, dipercayai bersama ahli keluarganya dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis kenduri keluarga terdekat di Telok Emas, Melaka. 

Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta BMW 530e hilang kawalan di lokasi kejadian sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar Toyota Vios yang dinaiki keluarga tersebut, Perodua Alza, Proton Wira serta sebuah lagi Mercedes-Benz.

Sementara itu, pemandu BMW 530e itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan