KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Hikayat Fandom hari ini melancarkan siri Ensiklopedia Mini Berilustrasi Kepulauan Melayu bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 dalam usaha memperkenalkan warisan ketamadunan rantau ini kepada khalayak antarabangsa.
Pelancaran buku itu merupakan inisiatif penting bagi menghidupkan kembali kisah dan sejarah Kepulauan Melayu untuk tatapan generasi baharu melalui gabungan sastera serta seni persembahan.
Pengasas Hikayat Fandom Ninot Aziz berkata siri lima jilid ensiklopedia tersebut dibangunkan menerusi kerjasama 25 pakar, ilustrator dan editor dari enam negara yang merangkumi topik Tamadun Dunia Silam, Legasi Dunia Maritim, Bahasa dan Sastera, Warisan Seni dan Budaya serta Tokoh Ikonik.
"Visi kami adalah membina dunia yang berakar pada warisan, sejarah dan imaginasi, dunia yang mampu mewujudkan hubungan budaya yang bermakna merentasi generasi.
"Pengunjung turut diperkenalkan kepada koleksi treler buku dan inisiatif penceritaan multimedia yang bertujuan menghidupkan karya sastera untuk khalayak masa kini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ninot berkata bagi memperluas jangkauan kreatif, Hikayat Fandom turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pembikin dokumentari Amerika Syarikat, Will Harper bagi meneroka kerjasama dalam bidang filem, kandungan pendidikan dan penceritaan transmedia.
Beliau berkata Hikayat Fandom turut membina momentum melalui galeri mini imersif 'Balai Gema Hikayat' yang kini berlangsung di GMBB, Kuala Lumpur sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Katanya, pameran interaktif itu menampilkan seni warisan Mak Yong, Mek Mulung dan Wayang Kulit bagi menarik pengunjung dalam serta luar negara merasai pengalaman pendidikan budaya yang unik.
Ninot yang juga penerima anugerah WOW KL Icon for Social Impact on Literature 2025, merupakan seorang penulis yang puisinya pernah dipilih untuk dimuatkan dalam Lunar Codex, sebuah arkib budaya antarabangsa yang dihantar ke Bulan melalui misi Artemis.
Sementara itu, Hikayat Fandom turut mencatat pengiktirafan antarabangsa apabila tiga penerbitannya dipilih dalam senarai 50 Judul Malaysia Terbaik untuk Hak Antarabangsa 2024-2026 oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia.
Tiga judul tersebut ialah "Beyond The Malay Archipelago: An Illustrated Encyclopaedia of Ancient Southeast Asia" dan "Kembara Leyla: Rahsia Empayar Uthmaniyah" karya Ninot Aziz serta "A Book of Poems: The Meowgical Tails of Malaysia" karya Prof Bee.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial