Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin & Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Perusahaan produk kraftangan tempatan, Goods for Good, bukan sahaja berusaha menjana keuntungan melalui penghasilan produk kraftangan, malah turut memperkasa golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas menerusi peluang pekerjaan serta program pembangunan kemahiran.
Menerusi pendekatan yang menggabungkan matlamat komersial dan tanggungjawab sosial, syarikat itu turut memastikan projek yang dilaksanakan bersama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mematuhi prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), selaras dengan aspirasi Malaysia ke arah pembangunan yang lebih mesra alam sekitar.
Goods for Good dikendalikan oleh Persatuan Seni Kebajikan dan Pendidikan untuk Orang Kurang Upaya dan Berkemampuan (AACE), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Salak Selatan, Kuala Lumpur.
Inisiatif itu bertujuan memperkasa belia Orang Kelainan Upaya (OKU) dan golongan kurang bernasib baik menerusi program pendidikan kreatif, pembangunan kemahiran dan keusahawanan, termasuk latihan menghasilkan kraftangan kertas buatan tangan.
Ketua Pasukan Pengurusan Pengeluaran AACE Lem Choy Yen, 44, berkata persatuan itu membantu golongan OKU menjana pendapatan menerusi penghasilan produk seperti kertas buatan tangan yang diperbuat daripada surat khabar dan kertas terbuang yang dikitar semula.
“Kami mengumpul kertas daripada syarikat percetakan yang sepatutnya dibuang sebelum mengitar semula bahan tersebut untuk menghasilkan kertas buatan tangan.
“Setiap hari mereka datang ke pusat kami di Salak Selatan untuk menghasilkan produk itu sebelum ia dipasarkan di Central Market, Loka Made dan Galeri Ilham,” katanya kepada Bernama di kedai cenderahati A Piece of Malaysia (APOM).
APOM memasarkan produk Goods for Good sebagai satu daripada 40 jenama yang ditampilkan di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini.
Lem berkata antara produk yang menjadi perhatian ialah buku nota dikenali sebagai “buOKU”, dihasilkan oleh belia berusia antara 21 hingga 33 tahun yang mempunyai masalah pembelajaran serta lampu cetakan tiga dimensi (3D) yang dibangunkan dengan kerjasama pereka tempatan.
Beliau berkata ketika ini lima belia OKU dan empat warga emas telah mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan syarikat melalui NGO berkenaan.
Memperkasa komuniti menerusi perusahaan sosial
Mengulas lanjut mengenai sumber bahan mentah, khususnya plastik yang digunakan untuk menghasilkan lampu cetakan 3D dan rantai kunci, Lem berkata NGO itu bekerjasama dengan sebuah syarikat pegangan multinasional Perancis yang terlibat dalam industri kosmetik, penjagaan kulit dan penjagaan diri.
Menurutnya, syarikat berkenaan melaksanakan program pengumpulan botol terpakai yang membolehkan pelanggan menukarkannya dengan mata ganjaran yang boleh ditebus untuk mendapatkan produk.
“Setiap minggu atau bulan, kami akan mengutip botol tersebut dan mengitar semulanya menjadi produk baharu tanpa sebarang kos,” katanya.
Selain membantu menjana pendapatan golongan OKU dan warga emas, inisiatif AACE turut menyumbang kepada kemampanan alam sekitar menerusi penggunaan semula bahan buangan untuk menghasilkan produk bernilai tambah.
Lem berkata terdapat syarikat yang bukan sahaja menyalurkan sumbangan kewangan bagi program CSR, malah mahu melihat penglibatan secara langsung penerima manfaat dalam aktiviti yang dijalankan.
“Apabila membeli kad atau produk ini, anda sebenarnya membantu golongan yang memerlukan. Bukan sekadar menderma, sebaliknya bantu memperkasa mereka.
“Sebagai contoh, jika syarikat menyumbang RM10,000, kami akan memberi peluang kepada kanak-kanak menyertai aktiviti seperti melukis atau memasang produk sebagai sebahagian daripada projek tersebut,” katanya.
Beliau berkata pengalaman secara langsung itu memberi nilai tambah kepada peserta dan membantu meningkatkan keyakinan diri mereka.
AACE beroperasi menggunakan sistem berasaskan sukarelawan dan tidak menggaji pekerja tetap, sebaliknya mendapatkan bantuan mengikut keperluan projek.
Menurut Lem, sukarelawan dan penyumbang akan menerima bayaran dalam bentuk upah kerja atau bayaran berasaskan projek bergantung kepada tugasan yang dilaksanakan.
Beliau berkata organisasi itu mengamalkan model perusahaan sosial dengan projek dilaksanakan berdasarkan permintaan pasaran, khususnya bagi membantu individu yang memerlukan peluang pekerjaan.
“AACE turut mengamalkan struktur yang telus dengan sebahagian hasil yang diperoleh disalurkan kepada peserta yang terlibat dalam projek,” katanya.
Lem berkata inisiatif Goods for Good mampu membantu meningkatkan taraf hidup golongan berkeperluan khas dan warga emas, khususnya daripada komuniti berpendapatan rendah dan rentan.
Selain itu, penerapan prinsip ESG dalam amalan perniagaan juga mampu mewujudkan impak sosial yang mampan, sekali gus menjadikan peluang, sokongan dan keyakinan sebagai pemangkin perubahan kepada keluarga dan komuniti setempat, kata beliau.
Maklumat lanjut berkaitan Goods for Good boleh didapati di laman webnya di https://www.aace.my/goodsforgood.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial