KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Pemain beregu campuran utama negara Toh Ee Wei dijangka menjalani imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) pada Isnin ini selepas mengalami kecederaan lutut kiri ketika beraksi pada suku akhir Terbuka Singapura semalam.
Perkembangan terbaharu itu disahkan Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky yang berkata tahap kecederaan dialami Ee Wei masih belum dapat dipastikan.
“Berdasarkan laporan (perubatan), (ahli fisioterapi) beliau masih belum dapat menentukan keadaan sebenar sehingga doktor melakukan imbasan MRI pada Isnin,” katanya kepada Bernama.
Berdasarkan laporan yang dikongsikan Rexy, Ee Wei telah menerima rawatan perubatan dan kini sedang dinilai oleh pasukan perubatan skuad kebangsaan.
Semalam, Ee Wei dan pasangannya Chen Tang Jie gagal menamatkan perlawanan suku akhir Terbuka Singapura selepas pemain itu mengalami kecederaan.
Juara dunia itu mendahului 18-16 menentang pasangan ranking ke-28 dunia dari India Dhruv Kapila-Tanisha Crasto, sebelum menarik diri selepas 24 minit permainan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial