KOTA KINABALU, 30 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang hari ini.
Beliau dijadualkan tiba di dewan kebudayaan itu pada 11 pagi bagi menyempurnakan festival kebudayaan tahunan berkenaan, selain menyertai acara tradisi simbolik menuai padi.
Anwar yang diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor kemudiannya dijadualkan mengadakan lawatan ke rumah-rumah tradisi yang terletak di Koisaan Cultural Village, KDCA selain beramah mesra dengan pengunjung yang hadir.
Sementara itu, majlis penutupan rasmi pesta berkenaan pula akan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman, esok.
Acara kemuncak selama dua hari itu dijangka dihadiri puluhan ribu pengunjung.
Bagi memudahkan pergerakan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas, perkhidmatan bas perantara percuma disediakan dari pusat beli-belah Imago dan Suria di sini ke Hongkod Koisaan bermula 10 pagi hingga 10 malam.
Pesta Kaamatan merupakan perayaan tradisi pesta menuai yang disambut dengan meriah masyarakat di Sabah sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian padi yang lumayan. Ia diraikan sepanjang Mei, dengan acara kemuncaknya diraikan pada 30 serta 31 Mei setiap tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial