KOTA BHARU, 29 Mei (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan akan menjalankan siasatan lanjut serta menambah baik prosedur operasi di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Tumpat susulan isu kelewatan rawatan yang tular di media sosial sejak semalam.
Jabatan kesihatan negeri dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya mengambil maklum hantaran yang tular semalam membabitkan seorang remaja perempuan berumur 17 tahun yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
Kenyataan itu menyebut pesakit terbabit hadir ke Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Tumpat pada 9.50 malam Rabu lepas dengan aduan sesak nafas, demam, batuk serta selesema.
“Pesakit telah diperiksa oleh Pegawai Perubatan pada 9.52 malam dan hasil pemeriksaan mendapati tiada tanda serangan asma akut manakala pemeriksaan lanjut di Triaj Sekunder juga mendapati keadaannya stabil.
"Pesakit kemudian ditempatkan di Zon Hijau sementara menunggu pemeriksaan lanjut kerana terdapat kes lain di Zon Kuning dan Zon Merah yang memerlukan rawatan segera pada ketika itu," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, ketika dipanggil semula untuk pemeriksaan lanjut pada 12.02 pagi, pesakit didapati telah meninggalkan hospital tanpa memaklumkan perkara itu kepada petugas.
Menurut kenyataan itu, semakan awal mendapati terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian khususnya dari segi komunikasi serta pengurusan pesakit di Unit Kecemasan dan Trauma.
Sehubungan itu, Hospital Tumpat akan menjalankan siasatan lanjut selain menambah baik prosedur sedia ada bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan.
"Sebagai langkah penambahbaikan awal, pesakit yang mempunyai latar belakang penyakit asma akan diberikan pemantauan berterusan sehingga selesai rawatan.
"Selain itu, pesakit di Zon Hijau yang sedang menunggu giliran rawatan juga akan dinilai semula secara berkala sehingga dipanggil untuk pemeriksaan lanjut," katanya.
Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan turut memaklumkan bahawa pihaknya memandang serius perkara itu dan komited untuk terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan yang profesional, berkualiti serta berfokus kepada kesejahteraan pesakit selaras dengan aspirasi Kementerian Kesihatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial