DUNIA

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari Dipengaruhi Penurunan Pasaran Serantau

28/05/2026 01:54 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah pada tengah hari hari ini, menjejaki penurunan pasaran serantau ketika pelabur kekal berhati-hati berhubung kemungkinan ketegangan di Asia Barat mereda.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.46 mata atau 0.15 peratus kepada 1,696.56 daripada paras 1,699.02 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 7.81 mata lebih tinggi kepada 1,706.83 dan bergerak antara 1,690.39 hingga 1,707.91 sepanjang sesi dagangan pagi.

Sentimen pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 602 berbanding 357, manakala 507 kaunter tidak berubah, 1,214 tidak diniagakan dan 88 digantung. 

Jumlah dagangan berjumlah 1.98 bilion unit bernilai RM1.80 bilion.

Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 2.32 peratus kepada 24,740.39, Indeks Straits Times Singapura turun 0.75 peratus kepada 4,990.8, Nikkei 225 Jepun susut 1.62 peratus kepada 63,944.04, manakala Indeks KOSPI Korea Selatan merosot 4.41 peratus kepada 7,866.11.

Dalam nota hari ini, Hong Leong Investment Bank Bhd berkata ketika pelabur menilai isyarat yang tidak konsisten berhubung prospek perjanjian Amerika Syarikat-Iran bagi menamatkan konflik tiga bulan serta memulihkan aliran bekalan tenaga melalui Selat Hormuz, FBM KLCI dijangka berdepan dagangan lebih tidak menentu.

“Selain risiko geopolitik, sentimen berhati-hati itu turut dipengaruhi musim keputusan kewangan suku tahunan, peningkatan risiko politik domestik termasuk spekulasi pilihan raya susulan sambutan ulang tahun ke-80 UMNO pada 11 Mei, serta aliran keluar dana asing yang berterusan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Malayan Banking Bhd susut dua sen kepada RM10.92, Public Bank Bhd turun tiga sen kepada RM4.77, IHH Healthcare Bhd susut dua sen kepada RM8.96, manakala CIMB Group Holdings Bhd naik satu sen kepada RM7.69 dan Tenaga Nasional Bhd meningkat 10 sen kepada RM14.26.

Bagi saham aktif, Zetrix AI susut setengah sen kepada 81 sen, YTL Corp Bhd turun empat sen kepada RM2.03, Astro Malaysia Holdings Bhd tidak berubah pada enam sen, manakala OGX meningkat 6.5 sen kepada 41.5 sen dan Inari Amertron Bhd naik 11 sen kepada RM2.33.

Kaunter untung utama termasuk KESM Industries Bhd meningkat 56 sen kepada RM5.05, United Plantations Bhd mengukuh 30 sen kepada RM30.50, Ajinomoto menambah 30 sen kepada RM13.24 dan Allianz Malaysia Bhd naik 22 sen kepada RM21.64.

Antara kaunter rugi utama, Kuala Lumpur Kepong Bhd, Petronas Dagangan Bhd dan Batu Kawan Bhd masing-masing susut 38 sen kepada RM19.96, RM17.26 dan RM20.02, manakala Hong Leong Bank Bhd turun 32 sen kepada RM21.58 dan PPB Group Bhd merosot 21 sen kepada RM9.81.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 15.43 mata kepada 12,600.45, Indeks FBM Top 100 turun 13.03 mata kepada 12,444.56, Indeks FBM Emas Syariah merosot 5.17 mata kepada 12,524.67, manakala Indeks FBM Mid 70 meningkat 2.44 mata kepada 18,216.81 dan Indeks FBM ACE naik 1.93 mata kepada 4,713.42.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.34 mata kepada 198.37, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 61.16 mata kepada 19,907.79, Indeks Tenaga turun 6.03 mata kepada 780.78 dan Indeks Perladangan merosot 29.04 mata kepada 8,506.24.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan